Menurut pakar berkenaan, faktor-faktor yang melahirkan fenomena "Ding Chong Zu" boleh diringkaskan kepada tiga aspek. Pertama, industri haiwan peliharaan semakin berkembang. Sejak dahulu lagi, haiwan kesayangan beransur-ansur mendapat tempat dalam kehidupan kita, dan mempengaruhi emosi kita. Dari makanan, pakaian, hinggalah hospital khusus untuk haiwan-haiwan kesayangan, nampaknya sektor haiwan peliharaan sudah menjadi industri baharu yang mendatangkan keuntungan kepada pelbagai pihak.
Faktor kedua; bagi sesetengah pasangan suami isteri muda, beban kehidupan di bandar raya cukup berat. Kebanyakan pasangan tidak berkemampuan terutamanya dari segi kewangan untuk membesarkan anak. Menurut hasil pengiraan seorang pengguna internet, di Beijing, jumlah perbelanjaan dari mula mengandung sehingga anak itu lulus dari universiti hampir RMB 500 ribu. Selain masalah duit, faktor masa juga merisaukan ramai ibu bapa muda. Mereka kadang-kala terpaksa meluangkan lebih banyak masa bekerja daripada menemani anak sendiri.
Faktor yang ketiga pula ialah tekanan dari segi psikologi. Mereka yang lahir pada dan selepas tahun 1980-an kebanyakannya anak tunggal. Mereka ini dikatakan lambat matang. Menurut pakar kaji isu sosial, "mereka (generasi muda) kurang keyakinan diri dalam menjaga anak sebab dalam hati mereka, mereka anggap diri sendiri masih anak lagi."
Perbuatan "Ding Chong Zu" ini mendapat sokongan dan tentangan pada masa yang sama. Bagi pihak yang menyokong, beranak atau tidak merupakan pilihan dan hak setiap insan. Bagi mereka, haiwan kesayangan juga boleh memenuhi keperluan emosi manusia. Pihak yang menentang pula menyatakan bahawa haiwan kesayangan tidak mungkin dan tidak akan menggantikan peranan anak. Walaupun menjaga anak bukan sesuatu yang senang, tetapi ibu bapa akan mendapat kegembiraan dalam proses ini. Selain itu, anak juga dianggap sebagai pelaburan jangka panjang. Apabila kita menua, anak kita akan menjaga dan menemani kita. Peranan ini tidak akan digantikan oleh haiwan.
Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 18 Julai 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn