Sistem Piawaian Kesihatan Air Minum terbaharu telah dilaksanakan di Tanah Besar China bermula 1 Julai lalu. Menurut sistem tersebut, piawaian bagi kandungan bahan organik, mikrob dan logam berat seperti arsenik, plumbum dan kromium dalam air, serta taraf kebersihan air China telah ditingkatkan sehingga selaras dengan Piawaian Kualiti Air WHO. Namun, memandangkan ketidakseimbangan pembangunan pelbagai tempat di China, rancangan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh percubaannya selama 6 tahun.
Setelah pelaksanaan piawaian tersebut, bolehkah kita minum terus air dari paip? Ahli kaji dari Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit China, Zhang Lan menyatakan piawaian tersebut digubal sambil merujuk kepada piawaian air minum yang sedang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kesatuan Eropah (EU), A.S., Rusia dan Jepun. Oleh yang demikian, sekiranya kualiti air memenuhi piawaian tersebut, air paip di China boleh terus kita minum.
Pada waktu yang sama, Zhang Lan mengingatkan bahawa keselamatan air minum juga bergantung pada keadaan kebersihan paip dan kesempurnaan kemudahan-kemudahan bekalan air yang lain. Oleh itu, beliau mencadangkan para pengguna supaya memasak air paip sebelum minum. Ia merupakan cara yang paling berkesan untuk membunuh kuman dalam air.
Sebenarnya masih ramai yang salah tanggap terhadap kesan meminum air yang kurang bersih. Sama seperti kita tidak akan terus mendapat penyakit kanser setelah menghisap sebatang rokok, kesan negatif air minum yang kurang bersih terhadap kesihatan kita juga tidak akan dilihat dengan serta merta. Walaupun tubuh badan manusia mempunyai sistem penapisan yang cukup sempurna, namun, sekiranya kita terlalu kerap minum air yang kurang bersih, lama-kelamaan tubuh kita akan dipenuhi pelbagai racun dan kotoran, sehingga menjejaskan fungsi organ-organ dalaman kita.
Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 15 Ogos 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn