Penguji tidur hotel diupah untuk menginap di sesuatu hotel untuk menikmati perkhidmatan di hotel tersebut, kemudian menerbitkan laporan tentang pengalaman mereka. Mereka biasanya diupah oleh badan media seperti laman web yang menyediakan maklumat tentang penginapan dan pelancongan.
Biasanya kerja penguji hotel tersebut dianggap mudah dan bergaji tinggi. Penguji cuma perlu bermalam di sesebuah hotel dan boleh mendapat upah yang lumayan. Tetapi menurut para penguji hotel sendiri, kerja menginap di hotel dan mengumpulkan pengalaman sendiri bagi menghasilkan laporan untuk dikongsi dengan para pengguna lain bukanlah kerja yang senang. Sebaliknya, para penguji perlu memerhatikan pelbagai aspek hotel tersebut dengan teliti dan objektif, serta membuat penjelasan dan menulis ulasan dengan gaya yang menarik.
Laman web bertemakan pelancongan yang terkenal di China, Ctrip telah menganjurkan program bertajuk "hotel paling selesa" pada penghujung bulan Oktober 2009. Seramai 200 orang diupah untuk menginap di beberapa hotel lima bintang secara percuma untuk menulis ulasan mengenai hotel tersebut. Mereka akan membuat penilaian berdasarkan beberapa aspek, termasuk lokasi, keadaan kebersihan, kemudahan dan perkhidmatan staf, kemudian menyenaraikan beberapa kebaikan dan kelemahan hotel tersebut serta mengeluarkan cadangan masing-masing. Laporan mereka tersebut akan diterbitkan dalam laman web Ctrip untuk menjadi rujukan para pengguna laman web yang ingin menempah bilik hotel.
Kebanyakan penguji tidur hotel mula berkongsi pengalaman sendiri dengan pengguna lain di laman web sebelum diupah menjadi penguji tidur hotel lagi. Menurut pakar bidang pengurusan sumber manusia, kerja penguji tidur hotel tidak begitu berbeza dengan pengkritik makanan, namun masih tidak boleh dianggap sebagai suatu kerjaya baharu kerana kesesuaiannya masih perlu diuji. Tambahan pula, masih belum ada piawaian atau peraturan kerajaan bagi mengawalselia sektor itu. Di samping itu, para pengguna dinasihati supaya jangan terlalu percaya atau bergantung pada ulasan penguji tidur hotel.
Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 10 Okt 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn