Bermula tahun ini, guru sekolah rendah dan mengengah di Shanghai tidak lagi dilantik mengikut sistem pelantikan tetap seumur hidup. Sebaliknya, kelayakan guru tersebut akan dinilai semula setiap lima tahun, dan akan dipecat sekiranya tidak lulus dalam penilaian. Langkah yang sedemikian turut dilaksanakan di Beijing, provinsi Gansu dan Wilayah Guangxi.
Sejak tahun 2001, sistem pelantikan guru telah dilaksanakan secara menyeluruh di tanah besar China. Namun, disebabkan belum ada peraturan untuk menetapkan tempoh perkhidmatan guru, maka pelantikan guru sentiasa dianggap untuk seumur hidup. Walaupun sistem seumpana ini telah menjamin kestabilan jumlah guru, namun ia juga membawa beberapa kesan negatif khususnya dalam dua aspek. Pertama, sesetengah guru akan kekurangan motivasi untuk terus meningkatkan keupayaan mengajar. Dan kedua, kualiti tenaga pengajar juga akan merosot secara keseluruhan ekoran tiadanya persaingan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Personel Jawatankuasa Pendidikan Shanghai, Zhou Jingtai, memandangkan guru bertanggungjawab membentuk masa depan sesebuah negara dan bangsa, kelayakan mereka perlu sentiasa diberikan perhatian. Kata beliau, tugas yang paling penting ketika ini ialah menggubal suatu sistem penilaian guru yang objektif dan saintifik.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 31 Oktober 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn