Cari:
Nelawati: Catatan Lawatan Hari Pertama di Jincheng--Jatuh Cinta Pandang Pertama
2013-07-09 14:45:06 CRI Cetak

Kali pertama mendengar nama kota ini, saya benar-benar terkedu. Jincheng? Tak pernah sekali pun saya mendengar namanya. Sebesar apakah kota ini? Cantikkah? Apakah yang menarik di kota ini? Saya cuba mencari maklumat bandar ini melalui internet namun apa yang saya temui tidak cukup untuk memenuhi rasa ingin tahu saya.

Jincheng terletak di tenggara provinsi Shanxi, tengah China, bersempadan dengan provinsi Henan dan provinsi Hebei. Bandar ini mempunyai keluasan 9490 km persegi dan jumlah penduduk seramai 2.3 juta orang. Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar Jincheng pada tahun 2012 adalah RMB101.16 bilion, meletakkannya di kedudukan kedua dari segi pembangunan ekonomi dan sosial di Shanxi.

Kami bertolak dari kota Beijing menaiki kereta api laju ke bandar Zhengzhou, ibu kota Henan yang mengambil masa tiga jam. Kenapa dari Zhengzhou dan bukan dari Taiyuan, ibu kota Shanxi? Ini kerana bandar ini lebih hampir dengan Zhengzhou dan tiada perkhidmatan kereta api laju dari Taiyuan ke Jincheng. Dari Zhengzhou kami menyambung perjalanan menggunakan bas yang mengambil masa kira-kira dua jam. Jalan raya yang menghubungkan dua bandar ini lurus, rata dan moden membuatkan perjalanan tidak terasa jauhnya.

Destinasi pertama di Jincheng ialah tempat penginapan, Hotel Antarabangsa Phoenix. Hotel ini merupakan salah sebuah daripada beberapa buah hotel bertaraf empat bintang di Jincheng. Oleh itu, jangan bimbang tentang penginapan jika berkunjung ke Jincheng.

Selesai makan tengah hari dan daftar masuk ke hotel, kami dibawa melawat destinasi pertama lawatan iaitu Dewan Pameran Perancangan Bandar Jincheng. Kami diberi taklimat tentang pembangunan bandar ini. Bandar Jincheng yang dahulunya sebuah bandar kecil berjaya dibangunkan menjadi bandar yang moden dan cantik melalui pembangunan bandar yang terancang bermula pada tahun 1985. Pembangunan bandar ini bercirikan konsep bangun dan bina tanpa mengabaikan kepentingan penjagaan alam sekitar. Usaha ini berbaloi kerana pada tahun 2012, Jincheng merupakan penerima pingat emas International Awards for Liveable Communities bagi kategori Enhancement of The Natural and Built Landscape.

Jincheng dikenali sebagai ibu kota arang batu namun tanpa arang batu. Melalui perancangan bandar yang begitu tersusun, bandar berusia 27 tahun ini berjaya membangunkan lombong tinggal menjadi taman subbandar. Gunung Kuil Kuda Putih (White Horse Temple Mountain) merupakan gunung kontang yang berjaya diubah menjadi gunung menghijau yang kini digelar paru-paru hijau Jincheng. Taman ini kini memiliki zon ekologi seluas 60 km2, ditanami sembilan juta pokok termasuk 100 tumbuhan asli, dan denai pejalan kaki sejauh 19km.

Kami turut dibawa melawat Muzium Kesusasteraan yang menjadi pusat kegiatan sastera di bandar ini. Kesusasteraan tidak dipinggirkan dalam arus pemodenan bandar. Namun apa yang menarik perhatian saya ialah dua buah meja pingpong di luar pekarangan muzium ini. Ketika melawat muzium itu, remaja dan kanak-kanak asyik bermain pingpong. Wah, betapa saya iri dengan kemudahan riadah itu. Kalaulah di tempat saya ada kemudahan riadah seumpama itu, pasti gejala tidak sihat dalam kalangan remaja dapat dibendung kerana golongan muda mempunyai ruang menyalurkan tenaga secara sihat. Bandar ini benar-benar santai dan selesa untuk didiami. Bak kata teman sekerja saya, dia ingin tinggal di bandar seperti Jincheng. Santai, selesa dan tidak bising seperti Beijing.

Bandar yang pernah menerima pelbagai anugerah termasuk Model Bandar Hijau Kebangsaan, Bandar Taman Antabangsa dan sebagainya ini, mempunyai matlamat untuk menjadi bandar maju paling menarik di tengah China, modern, ramah, terbuka dan selesa didiami. Hasrat ini pasti tercapai berdasarkan prestasi pembangunan semasa yang memukau. Benarlah kata pepatah, "Tak Kenal, Maka Tak Cinta". Menjejakkan kaki buat pertama kali ke Jincheng, umpama jatuh cinta pandang pertama. Namun, kembara cinta di Jincheng belum berakhir kerana esok pelbagai destinasi menarik menunggu kami.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China