Cari:
Nelawati: Catatan Lawatan Hari Kedua di Jincheng-- Kota Hijau dalam kemodenan
2013-07-10 15:00:28 CRI Cetak

Negara China kaya dengan peninggalan sejarah, memiliki 38 buah tapak warisan dunia UNESCO, iaitu yang terbanyak di dunia. Tamadun China bermula sejak 5000 tahun dahulu. Oleh itu tidak hairanlah setiap provinsi atau bandar memiliki tapak tinggalan sejarah yang kini menjadi tarikan pelancong.

Program hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Istana dan Rumah Agam Perdana Menteri (Castle and Mansion of PM/CMPM) yang berusia 400 tahun, dan menjadi bekas kediaman Chen Tingjing, seorang ahli akademik dan Menteri Peribadi pada zaman Dinasti Qing, malah pernah menjadi guru Maharaja Kangxi dan Ketua Editor Kamus Kangxi. Beliau banyak berjasa kepada maharaja dan pernah berkhidmat sebagai pembantu baginda selama setengah abad.

Kebanyakan ahli keluarga Chen Tingjing sangat cemerlang dalam hidup mereka. Ini terbukti dengan kejayaan yang dicapai dari aspek akademik, antaranya 41 orang menjadi pelajar akademi diraja, 19 orang lulus peperiksaan peringkat provinsi, sembilan orang lulus peperiksaan peringkat negeri serta enam orang menjadi ahli akademik. Kecemerlangan mereka mendorong Maharaja Qianlong menulis kaplet yang memuji mereka.

Rumah agam Chen Tingjing meliputi kawasan seluas 100,000 meter persegi yang menempatkan rumah dan laman dalam. Kawasan ini dikelilingi dinding batu, taman dan ruang tamu yang memiliki hiasan yang berbeza. Apa yang istimewa, seni bina rumah agam ini memiliki ciri-ciri Dinasti Ming dan Qing serta mempunyai pengaruh kebudayaan barat dan timur. Maharaja Kangxi pernah berkunjung dan menginap di rumah tersebut sebanyak dua kali yang menjadi unsur penting dari aspek sejarah dan kebudayaan.

CMPM ini dibuka kepada pelancong bermula pada tahun 1998, dan menerima 1.6 juta orang pelawat serta pendapatan RMB78 juta.

Bagi membolehkan CMPM dibaik pulih, penghuni asalnya dipindahkan ke Kampung Huangsheng secara berperingkat pada tahun 2007. Kampung Huangsheng menjadi kediaman tersusun yang moden serta menjana pendapatan penduduk melalui program inap desa. Setiap 279 keluarga yang terdiri daripada 776 orang itu diberi seunit empat tingkat kediaman di Kampung Huangsheng. Bagi menjamin pendapatan berterusan penduduk, mereka bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pelancongan termasuk inap desa, restoran keluarga dan sebagainya. Tingkat pertama rumah kediaman di Kampung Huangsheng dijadikan penginapan program inap desa yang selesa, cantik dan bersih. Manakala dua tingkat teratas serta tingkat bawah tanah merupak kediaman tuan rumah. Usaha ini membuka 3000 peluang pekerjaan selain mewujudkan kaedah baharu pembangunan di kampung ini.

Lawatan kami seterusnya adalah ke kaunti Yangcheng yang baru dibangunkan melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun ke-12. Pembangunan yang terancang tanpa mengabaikan alam sekitar ini menjanjikan kawasan perbandaran yang dilengkapi hospital, sekolah rendah dan menengah, kompleks sukan, kawasan kediaman serba hijau. Jika siap sepenuhnya kelak, kaunti Yangcheng bakal menjadi kaunti yang serba moden dan selesa.

Lawatan ke Yangcheng kami akhiri dengan mengunjungi kampung yang pernah difilem oleh Universal Studio yang bertajuk "Inn of The Sixth Happiness". Kini kampung yang memiliki sejarah berkaitan pencerobohan Jepun itu sedang dibaik pulih untuk dijadikan sebuah lagi kawasan tarikan pelancong.

Lawatan ini benar-benar membuka minda bagaimana mengekploitasi tinggalan sejarah tanpa meminggirkan kepentingan penduduk tempatan. Usaha pihak berkuasa tempatan Jincheng ini boleh ditiru khususnya bagi membantu menjana pendapatan melalui pelancongan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China