Cari:
Nelawati: Catatan Lawatan Hari Ke-3 di Jincheng--Pembangunan Jincheng Umpama Kebangkitan Sang Naga
2013-07-11 16:01:40 CRI Cetak

Kampung lama Xiangyu

Hari ketiga ini bermula dengan iringan hujan lebat yang turun sejak malam tadi. Kami meninggalkan Hotel Chancellor Manor kira-kira pukul 8.30 pagi menuju ke kaunti Qinshui yang terletak kira-kira satu jam dari kaunti Yancheng. Hujan yang turun mendinginkan suasana selepas dua hari mengharungi panas terik di bumi Jincheng ini.

Kami berpeluang melawat sebuah lagi kampung lama yang bakal diubah suai menjadi destinasi pelancongan yang terletak di pekan lama Xiangyu. Kampung Xiangyu ini sebenarnya terletak di persimpangan kaunti Zezhou, Yangcheng dan Qinshui. Kampung yang mempunyai keluasan 7.6 kilometer persegi ini didiami 1250 penduduk daripada 420 keluarga.

Di Xiangyu terdapat sebuah istana lama yang berusia lebih 500 tahun, milik tiga orang adik-beradik bernama Sun, pegawai tinggi kerajaan zaman Dinasti Ming. Ketiga-tiga mereka Juxiang, Kexiang dan Dingxiang mereka bentuk bangunan istana yang dipanggil Istana Sandu ini. Ketika melihat sendiri bahagian dalam istana tersebut memang terbit rasa kagum. Istana ini berbentuk bulat kira-kira 2300 meter dan mempunyai lubang persembunyian serta berek askar yang ditugaskan untuk mempertahankan keluarga itu.

Penulis bersama artis bandar Jincheng

Istana yang dibina di atas bukit tersebut kini diselanggara oleh Syarikat Pembangunan Pelancongan Istana Sandu yang ditubuhkan pada tahun 2002. Syarikat ini bertanggungjawab terhadap kerja-kerja membaik pulih istana berkenaan sebelum dibuka kepada pengunjung dan memindahkan penduduk kampung ke petempatan moden.

Xiangyu merupakan salah sebuah daripada 12 kampung yang dipilih menjadi perintis projek pembangunan pelancongan. 12 kampung ini dipilih melalui undian daripada 23 buah kampung yang disenarai pendek untuk tujuan tersebut. Sebagai kampung perintis, kampung-kampung berkenaan bakal menjadi contoh kepada seluruh kampung di Jincheng daam usaha menaik taraf hidup rakyat melalui industri pelancongan.

Jincheng merupakan pengeluar arang batu kedua besar di China, selepas Xinjiang. Banyak bekas lombong arang batu yang dipulihkan menjadi kawasan ekologi yang sihat dan selesa didiami. Sebagai salah satu usaha mempelbagai sumber ekonomi, Jincheng meneroka industri berasaskan arang batu, iaitu pemprosesan gas cecair arang batu. Jika sebelum ini gas arang batu terbuang begitu saja, namun melalui penerokaan ini, gas cecair arang batu menjadi salah satu sumber tenaga. Selain itu, usaha ini turut mengurangkan pergantungan terhadap gas petroleum, dan arang batu. Peluang meninjau ke kilang pemprosesan gas cecair arang batu dan kilang pengumpulan gas arang batu memperlihatkan potensi besar sumber ini kepada kepelbagaian sumber serta peluang kerjasama untuk meneroka bidang ini.

Melalui taklimat oleh wakil-wakil kerajaan tempatan Jincheng, iaitu Pejabat Propaganda Dalaman, Suruhanjaya Pertanian, Biro Pelancongan dan Kebudayaan Relik serta Biro Penyiaran dan Penerbitan Berita Kebudayaan, jelas bahawa penggemblengan tenaga bersepadu agensi-agensi ini membantu pembangunan pesat Jincheng. Memang amat mengagumkan kerana pembangunan tersebut dicapai dalam tempoh kurang 30 tahun. Kini Jincheng bertukar menjadi bandar moden secara berperingkat serta berjaya keluar dari kepompong kemiskinan. Dan yang paling istimewa, pembangunan Jincheng seiring dengan penghijauan bandar. Tidak mustahil Jincheng berjaya mencapai matlamatnya menjadi bandar terhebat di China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Periuk Besi Jadi Alat Muzik

• Padang Sesawi Saujana di Yili, Xinjiang
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China