Cari:
Nelawati: Layang-Layang Menjadi Penghubung
2014-04-21 14:25:33 CRI Cetak

Festival Layang-layang Antarabangsa Beijing di daerah Tongzhou, Beijing pada 15-16 April lalu menyaksikan penyertaan 13 negara termasuk Malaysia yang diwakili oleh Persatuan Layang-layang Melaka dan Johor, Thailand, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat, negara-negara Eropah seperti Perancis, Itali, Britain dan Sweden serta beberapa provinsi di China sendiri.

Saya dan anak saya, Damia berpeluang berkunjung ke tapak festival ini, atas undangan Persatuan Sahabat Asing China. Cuaca yang kurang baik, mendung dang kurang berangin tidak mematahkan semangat peserta. Melihat pelbagai bentuk layang-layang yang berterbangan mengimbau kembali zaman kanak-kanak saya. Bermain layang-layang merupakan aktiviti masa lapang yang biasa. Maklum saja, pada masa tu, bukan mudah untuk membeli barangan permainan seperti sekarang. Kadang-kala aktiviti ini menimbulkan kemarahan emak kerana sisa kertas menjadi sampah, selain benang jahitan menjadi mangsa.

Kali ini Damia pula menikmati permainan layang-layang ini. Memang di sini, pada musim bunga sering diisi dengan aktiviti bermain layang-layang. Pada masa ini, pelbagai bentuk layang-layang ada dijual. Di sekitar daerah Shijingshan ini, kawasan lapang di Taman Arca Antarabangsa memang menjadi tumpuan penduduk setempat untuk bermain layang-layang. Rasanya, bermain layang-layang akan menjadi salah satu aktviti hujung minggu yang mendatang.

Oh ya, dalam kunjungan ke festival itu, selain bermain, pengunjung berpeluang membuat layang-layang sendiri. Walaupun rangka layang-layang disediakan dan pengunjung hanya perlu menampal kertas, rupa-rupanya sukar juga untuk memastikan layang-layang seimbang dan terbang tinggi kalau tali selajurnya tak betul. Damia bernasib baik mendapat tunjuk-ajar sifu layang-layang, Encik Lim dari Melaka. Jauhnya Damia belajar membuat layang-layang, kan? Sesuai dengan pepatah, "Tuntutlah ilmu sampai ke negera China". Saya? Mengetik butang kamera sambil menikmati perbualan sifu dan anak murid dalam bahasa Melayu. Betul kata Laksamana Hang Tuah, "Tak Melayu Hilang di Dunia". Bertemu rakan senegara di tempat orang, mengukuhkan kecintaan terhadap tanah air. Semakin sedar betapa diri ini bertuah kerana masih mempunyai negara yang berdaulat. Malaysia, tanah airku.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China