Cari:
Bertemu sebagai Lawan, Berpisah sebagai Kawan
2014-09-26 21:44:36 CRI Cetak

(Oleh Farahnaz binti Hashim, CRI)

Tak sampai setengah tahun Tan Sri Dr Rais Yatim mengusulkan penganjuran pertandingan badminton persahabatan antara pasukannya dengan pemain-pemain dari CRI semasa lawatan beliau ke Beijing pada bulan Mei lalu, hari ini ia telah pun menjadi kenyataan.

Di Stadium Yishi di daerah Shijingshan Beijing, delegasi dari Malaysia bertemu dengan wakil-wakil CRI untuk Pertandingan Badminton Persahabatan Piala Tan Sri Dr Rais Yatim buat julung kalinya.

Tan Sri Dr Rais yang mengetuai pasukan yang dibimbing oleh beliau dan isteri, Puan Sri Masnah, menjelaskan bahawa tujuan pertandingan ini dianjurkan adalah untuk menyemarakkan semangat muhibah antara kedua-dua pihak, dan bukan untuk beradu kekuatan.

Sukan badminton yang agak digemari di kedua-dua negara, terutamanya setelah dipopularkan oleh jaguh seperti Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei, memang sesuai dijadikan wadah pertukaran antara rakyat. Sebagai peminat badminton, Tan Sri Dr Rais yakin bahawa pertandingan persahabatan seumpama ini mampu merapatkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara. Ini terbukti benar apabila melihat para peserta yang bermain dengan penuh keseronokan hari ini bergurau senda antara satu sama lain.

Bagaimanapun, menang kalah adat pertandingan. Selepas perlawanan yang sengit, pasukan dari Malaysia yang ternyata berkelebihan dalam pertandingan kali ini, pulang membawa kemenangan.

Cik Zhang Wei yang mewakili CRI merasakan, persiapan yang kurang rapi mungkin penyebab mengapa pasukannya kalah. Katanya, "saya dengar, pemain Malaysia berlatih sekurang-kurangnya sekali seminggu. Maka, kami pun mestilah lebih rajin berlatih untuk pertandingan tahun depan."

Walaupun kalah dengan Puan Sri Masnah dan pasangannya dalam perlawanan bergu wanita, namun Zhang tetap menganggap aktiviti seumpama ini peluang interaksi yang jarang ada. Pasukannya menghargai persahabatan dengan kawan-kawan dari Malaysia dan mengalu-alukan mereka datang ke Beijing lagi pada tahun depan.

Encik Xu Guowei yang sepatutnya bertanding dalam acara bergu campuran menyatakan dia sedikit pun tidak berasa terkilan acaranya dibatalkan. Sebaliknya dia mengambil kesempatan pertandingan ini untuk memerhati dan mempelajari teknik-teknik pemain Malaysia yang pada pendapatnya bertaraf tinggi. Katanya, dia berasa cukup bertuah diberi peluang bermain badminton dengan orang Malaysia.

Hasrat Tan Sri Dr Rais untuk menganjurkan pertandingan badminton persahabatan ini setiap tahun bermula tahun ini mendapat sambutan baik daripada pihak-pihak terlibat.

1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China