Cari:
Kenali Malaysia, Cintai Malaysia
2015-04-28 14:29:12 CRI Cetak


Menteri Kedutaan Malaysia di China, Encik John K. Samuel dan Naib Presiden Beijing Language and Culture University, Wang Luxin bersama-sama merasmikan Festival Kebudayaan Malaysia 2015

Pada 25 April yang lalu, kru Kenali Beijing telah membuat liputan Festival Kebudayaan Malaysia 2015 anjuran Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (AMSIB) yang telah diadakan di stadium kampus, Beijing Language and Culture University. Majlis perasmian festival telah dimulakan dengan ucapan Menteri Kedutaan Malaysia di China, Encik John K. Samuel, diikuti Encik Wang Luxin, selaku Naib Presiden Beijing Language and Culture University dan Encik Lee Shu Qin, Presiden AMSIB. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada pihak penganjur dan acara melepaskan belon sebagai gimik perasmian festival.

Aktiviti festival tersebut dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu Hidangan Asli Malaysia, Sesi Kreatif Interaktif, Persembahan Kebudayaan, Pameran Kesenian dan Zon Pameran. Sebanyak 29 buah gerai telah didirikan di tapak festival tersebut. Sebanyak enam buah gerai telah disediakan di bahagian Hidangan Asli Malaysia. Di bahagian tersebut makanan Malaysia yang dijual antaranya termasuklah sate, nasi lemak, teh tarik, keropok goreng, aiskrim potong, kopi di samping perencah masakan jenama MasFood, iaitu perencah tomyam, rendang, laksa, sambal udang dan lada hitam. Untuk membeli, makanan tersebut pengunjung perlu membeli kupon terlebih dahulu. Harga sekeping kupon bernilai 50 yuan.

Bahagian Sesi Kreatif Interaksi pula menyediakan beberapa permainan tradisional Malaysia antaranya termasuklah permainan guli, gasing, lompat getah, sepak takraw dan congkak. Rata-rata pengunjung begitu teruja untuk mencuba permainan tradisional tersebut, khususnya kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga permainan yang disediakan dalam bentuk pertandingan seperti batu seremban, sumpit, baling gelung dalam botol, baling tin dan kutip kacang tanah. Setiap pemenang dalam pertandingan tersebut akan diberikan hadiah makanan ringan Malaysia, seperti muruku dan sate ikan. Bahagian ini juga menganjurkan bengkel kraf tempatan yang membolehkan para pengunjung menyaksikan demonstrasi membuat ketupat, angklung dan kompang.

Cuaca panas terik tidak menghalang para petugas yang memakai baju kebaya, baju Melayu, salwar kameez (baju Punjabi), Ceongsam, kain pelikat dan pakaian etnik Sabah dan Sarawak mengenakan pakaian tersebut sehingga tamat acara. Para petugas tersebut adalah antara petugas di bahagian Persembahan Kebudayaan yang menguruskan persembahan kebudayaan Malaysia dan pertunjukan fesyen pakaian pelbagai etnik. Antara persembahan kebudayaan yang diadakan ialah Tarian Singa, Tarian Hollywood "Pandeyjee Seeti-Dabang, tarian etnik Kenyah, Datun Julud, Persembahan Angklung, Tarian Melayu Lenggak Si Dara dan Dikir Barat.

Bukan setakat itu sahaja, bagi penggemar Pameran Kesenian, Belia Malaysia di Beijing turut mengadakan aktiviti melukis batik dan Henna, di samping aktiviti mewarnakan kain rentang. Tidak lengkap rasanya festival Malaysia tanpa pengenalan tentang Malaysia. Oleh itu, di Zon Pameran para pengunjung boleh mengetahui serba sedikit maklumat tentang Malaysia atau berkunjung ke gerai Pelancongan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk mendapatkan risalah-risalah mengenai Malaysia.

Kemeriahan sememangnya dapat dirasai sepanjang berada di festival tersebut kerana para pengunjung boleh memilih aktiviti yang disukai oleh mereka. Mereka boleh menikmati makanan sambil melihat persembahan di pentas atau menyertai pelbagai aktiviti permainan dan kesenian yang telah disediakan. Bagi warga Malaysia sendiri bertemu dengan kenalan-kenalan senegara adalah saat yang dinanti-nantikan kerana pada ketika itulah masing-masing akan bertukar cerita dan berkongsi pengalaman hidup di perantauan, manakala bagi warga Beijing pula inilah saatnya untuk berkenalan dan mengetahui keistimewaan yang ada pada Malaysia. Selain itu, festival seperti ini juga menjadi medan kepada warga Malaysia dan China untuk saling berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain ibarat yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan.

Mungkin ada antara para pengunjung yang pertama kali mendengar nama Malaysia, namun itu bukanlah alasan untuk tidak mengenali dan menyukai, malahan disebabkan "pertama kali mendengar nama Malaysia" itulah yang membuatkan mereka terus berada di festival tersebut semata-mata mahu menyaksikan sendiri keunikan budaya Malaysia. Seperti yang disampaikan oleh Encik John K. Samuel dalam ucapan perasmian beliau, tidak kenal, maka tidak cinta. Semakin kita mengenali antara satu sama lain, maka semakin eratlah kemesraan perhubungan dan persahabatan itu dapat dibina. Sehelai benang sudah tentu tidak kuat mengikat, tetapi sekiranya dikumpulkan sudah tentu mampu menjadi tali yang kejap ikatannya.

Semoga usaha murni ini akan diteruskan pada masa akan datang demi kelangsungan persahabatan Malaysia-China agar perhubungan yang telah terbina sejak berpuluh-puluh tahun ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sekalung budi dan penghargaan juga seharusnya diberikan kepada seluruh jawatankuasa festival, khususnya mahasiswa Malaysia dan China yang bertungkus-lumus menjayakan festival ini. Mereka telah berjaya membuktikan bahawa segala perkara boleh dilaksanakan sekiranya yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Terima kasih juga kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada program "Kenali Beijing". Teruslah memberikan sokongan kepada program tersebut kerana program tersebut bakal menyediakan pelbagai bahan yang menarik untuk tatapan semua.

(Penulis dan jurugambar: Zaidah Ahmad)

1 2 3 4 5 6
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China