(Oleh Farah)
Ini kali kelima aku ke Xi'an, kali kedua ke Xi'an menaiki kereta api, entah kali ke berapa menaiki kereta api laju di China, tetapi baru kali pertama menaiki kereta api laju ke Xi'an.
Farah dan Melur dalam kereta api laju dari Beijing ke Xi'an
Memanglah seronok dapat merasa duduk di dalam kereta api laju, meninggalkan Beijing meluncur ke kota purba yang sudah kuanggap rumah kedua di China. Mana tidaknya, kereta api moden, tempat duduk selesa, ada pula gerabak kantin menyediakan makanan ringan dan berat termasuk set makanan halal... Tapi yang benar-benar mencuri perhatianku, panorama di luar tingkap.
Langit cerah, awan indah dan ladang terbentang luas dalam perjalanan
Dahulu, ketika aku ke Xi'an dengan kereta api, belum ada kereta api laju, jadi perjalanannya semalaman. Memang terlalu lama dan meletihkan, di luar pula dunia sudah gelap gelita, tidak ada apa-apa yang dapat dilihat. Hari ini barulah kutahu pemandangan sepanjang perjalanan antara dua buah bandar ini.
Tanah pertanian berlatarkan banjaran gunung
Walaupun masa penerbangan dari Beijing ke Xi'an sebenarnya lebih singkat daripada perjalanan menaiki kereta api laju, namun kita tiada peluang menjamu mata dengan keunikan landskap semula jadi yang ada dalam perjalanan sekiranya menaiki kapal terbang. Bagiku, inilah kelebihan menaiki kereta api laju ke Xi'an.