Cari:
Kereta Api Laju China, Teknologi yang Boleh Diyakini
2015-06-12 11:52:09 CRI Cetak

(Oleh Zaidah Ahmad Rosly)

Apabila diberi peluang untuk menaiki kereta api laju dari Beijing ke Xi'an, sudah tentu peluang tersebut tidak akan ditolak, sementelah inilah pengalaman pertama menaiki kereta api laju. Dari hari ke hari perasaan teruja itu seperti sudah tidak dapat dibendung lagi. Hati sering berbisik sendiri, "Bagaimanakah rasanya menaiki kereta api laju di China?"

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Maka, tanggal 11 Jun 2015, bersempena dengan Kembara Sutera 2015, impian pun terlaksana. Kereta api laju yang kami naiki dari Beijing ke Xi'an akan bertolak pada pukul 2.00 petang. Kami dijangka tiba di Xi'an pada pukul 6.30 petang. Oleh itu, masa perjalanan mengambil masa empat jam tiga puluh minit, lewat dua jam sekiranya menaiki kapal terbang.

Menurut maklumat yang diperoleh, kereta api laju China terdiri daripada kelas perniagaan, kelas pertama dan kelas kedua. Walaupun diberikan peluang untuk menaiki kereta api laju kelas kedua, namun tetap berasa bahagia dan teruja seumpama menaiki kereta api laju kelas perniagaan.


Suasana di dalam kereta api laju

Perasaan suka atau selesa semasa menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan memang tidak boleh dipaksa-paksa. Perasaannya adalah seperti perasaan jatuh cinta kepada seseorang. Perasaan itu akan lahir dengan sendiri tanpa disedari. Walaupun pertama kali merasai pengalaman menaiki kereta api laju dan kereta api laju yang dinaiki itu kereta api laju kelas kedua, oleh sebab produk dan perkhidmatan yang disediakan itu mempunyai kualiti dan mencapai standard yang tinggi, maka "kelas dua" tersebut seolah-olah sudah hilang daripada ingatan ataupun tidak terasa langsung. Oleh itu, para penumpang tidak perlu bimbang atau berfikir banyak kali untuk memilih "kelas kedua" ini kerana perkhidmatan yang disediakan pasti tidak akan mengecewakan anda dan baki wang yang ada itu bolehlah anda gunakan untuk membeli-belah di Xi'an. Keadaan ini sudah tentu akan memberikan keseronokan berganda kepada anda.

Dari segi kebersihan, memang tidak dinafikan para pekerja begitu komitmen menjalankan tanggungjawab masing-masing. Setiap beberapa jam sekali, pasti akan ada yang berulang-alik untuk mengemop lantai dan tidak lama selepas itu, akan ada pula seseorang yang membawa beg plastik hitam sambil bertanya kalau-kalau ada sampah yang mahu dibuang.

Sekiranya hendak diberikan markah, bahagian keselesaanlah yang patut diberikan markah yang tinggi. Rata-rata para penumpang, apabila duduk sahaja di tempat masing-masing mula menonton video sama ada menggunakan komputer bimbit, telefon bimbit atau ipad. Tidak kurang juga yang tidur atau membaca buku. Sekiranya mahu makan dan minum sambil berbual-bual, ramai juga yang ke kantin. Makan dan minum dengan duduk berhadap-hadapan sambil ditemani pemandangan yang indah tentu mengasyikkan. Sekiranya sebelum ini suasana seperti itu sering dilihat dalam filem-filem, namun kini pengalaman tersebut sudah pun dialami sendiri.


Suasana di kantin di dalam kereta api laju

Selain itu, kerusi yang disediakan juga selesa dan boleh dilaraskan mengikut keselesaan, di samping jarak antara kerusi yang tidak terlalu rapat menambahkan rasa seronok sepanjang perjalanan. Keselesaan seperti itu tidak akan diperoleh sekiranya menaiki kapal terbang, khususnya kelas ekonomi. Dengan harga tiket kapal terbang yang lebih mahal, ternyata pilihan menggunakan kereta api laju untuk ke Xi'an adalah pilihan yang bijak. Oh, ya! Satu lagi perkara penting yang perlu dikongsi ialah menurut salah seorang pegawai yang bertugas, peratusan kereta api laju tersebut akan tiba lewat adalah 99.99 peratus. Maklumat ini sangat penting, khususnya kepada ahli-ahli perniagaan kerana bagi mereka masa itu seperti emas. Sedikit kelewatan ada kalanya akan menyebabkan kerugian yang besar kepada mereka.


Pemandangan yang indah sepanjang perjalanan dari Beijing ke Xi'an

Tenang dan indah. Itulah perkataan yang terbit di minda sepanjang perjalanan menaiki kereta api laju dari Beijing ke Xi'an. Kereta api tersebut memulakan perjalanan dengan lembut dan perlahan, sebelum meningkatkan kelajuan. Tidak ada sedikit pun perasaan cemas atau takut semasa kereta api hendak memulakan perjalanan seperti rasa cemas semasa kapal terbang hendak memulakan penerbangan. Segala-galanya lancar dan menenangkan hati. Ditambah pula dengan pemandangan yang indah, cuaca yang cerah dan langit yang biru seakan-akan telah melengkapkan keseluruhan perjalanan kami. Apabila tiba di Xi'an, ada penumpang yang sudah bersiap sedia untuk mengambil bagasi masing-masing yang diletakkan pada rak di bahagian atas kepala. Walaupun ramai orang di gerabak tersebut, namun proses mengambil bagasi masing-masing berjalan dengan baik dan tidak berlaku kesesakan seperti yang sering berlaku di dalam kapal terbang.


Steses Kereta Api Xi'an

Selain itu, pujian juga harus diberikan kepada seluruh petugas kerana telah memberikan perkhidmatan yang baik dan sentiasa membantu memudahkan segala urusan para penumpang serta senyuman selamat jalan yang sungguh manis. Mereka juga kelihatan segak dan menarik dengan uniform masing-masing. Mungkin ini adalah pengalaman pertama menaiki kereta api laju dari Beijing ke Xian, namun bukanlah yang terakhir. Semoga ini akan membuka ruang dan peluang pada masa akan datang untuk menggunakan perkhidmatan kereta api laju China ke destinasi pelancongan yang lain pula. Detik-detik itu memang sangat dinanti-nantikan.

1 2 3 4
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China