Cari:
Zaidah: Kuasa Muzik dan Sentuhan Tangan-Tangan Ajaib
2015-12-28 15:57:10 CRI Cetak

(oleh Zaidah)

Walaupun sudah hampir dua minggu Konsert Persahabatan China-ASEAN melabuhkan tirainya, namun kenangan pada malam konsert tersebut masih terasa hangat hingga kini. Sekiranya hendak bercakap tentang penyanyi yang membuat persembahan pada malam itu, ternyata sudah heboh diperkatakan. Memang tidak dinafikan, semua penyanyi yang membuat persembahan pada malam itu sama ada penyanyi dari ASEAN, mahupun China, sama ada penyanyi senior, mahupun penyanyi muda semuanya sama hebat, sama menawan dan sangat menghiburkan.

persembahan pembukaan

 Penyanyi dari ASEAN menyanyikan lagu True Friendship Lasts Forever sambil diperkenalkan oleh juruacara.

Sejujurnya, pentas konsert tersebut juga sebenarnya bukan medan untuk beradu kehebatan suara atau persembahan, walaupun mungkin ada segelintir pihak gemar membuat perbandingan. Namun, yang tersiratnya ialah pentas konsert tersebut hanya sebagai platform untuk kita saling berinteraksi dan berkomunikasi, sekali gus membenihkan bibit-bibit kemesraan. Buktinya, sepuluh penyanyi dari ASEAN dan sembilan penyanyi dari China sudi berkongsi pentas demi merealisasikan tema konsert, iaitu Our Song, Our Region, di samping memupuk semangat muhibah rentas negara.

 Juruacara pada malam tersebut yang mewakili Beijing (baju berwarna merah) dan Guangxi (baju berwarna biru).

Lagu atau muzik sebagai wadah interaksi dan komunikasi juga merupakan medium yang tepat kerana perutusan Duta Besar China ke ASEAN, Xu Bu ada menyebut bahawa muzik adalah bahasa universal, juga kata-kata Pengarah Pusat Asia Tenggara CRI, An Xiaoyu yang menyatakan bahawa tiada bahasa asing dalam muzik. Melalui muzik kita dapat berinteraksi dan berkomunikasi melampaui budaya dan bahasa, justeru lebih indah lagi, muzik sesekali tidak membezakan pendengarnya baik yang berkulit hitam atau putih, juga dari segi agama, taraf pendidikan, pangkat, status, gender, dan sebagainya.

Persembahan Sri Nazrina dari Brunei dengan lagu Anak Durhaka.

Lihat sahaja pada malam konsert tersebut berlangsung, semua lapisan tanpa mengira siapa pun kita, berkumpul di auditorium Stesen Televisyen Beijing dengan matlamat meraikan persahabatan dan menghayati alunan muzik rantau Asia. Muzik seolah-olah mempunyai kuasa magis yang berupaya memahamkan dan menyatukan semua lapisan dengan menggunakan keunikan "bahasanya", seperti yang dituturkan juruacara pada malam itu sejurus Bunga Citra Lestari selesai menyanyikan lagu True Love bahawa dalam percintaan, walaupun kita berbeza bahasa, namun kita tetap berkongsi perasaan yang sama.

Persembahan Wang Li dari China dengan lagu The Chinese Character.

Kehangatan pada malam konsert tersebut tentu tidak akan dapat direalisasikan seindah itu tanpa kerjasama yang cukup erat daripada pihak-pihak di belakang tabir. Pihak penerbit, kru produksi, pengarah muzik, 30 orang pemuzik, 4 orang penyanyi pengiring, koreografer, pengurus pentas, penata lampu, juru mekap, juga tidak ketinggalan pihak penganjur dan ahli jawatankuasa yang terbabit. Mereka inilah yang bertungkus-lumus hampir saban hari demi memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar dan teratur. Tanpa sentuhan "tangan-tangan ajaib" mereka itulah, pentas tidak akan seindah seperti yang dilihat, melodi tidak akan semerdu seperti yang didengar, wajah tidak akan secantik seperti yang tergambar dan tari tidak akan teratur seiring dengan rentak.

  Persembahan yang rancak daripada Ma Chanpanha dari Kemboja dengan lagu Autumn.

Amanah yang digalas sememangnya bukan mudah, sementelah pula masing-masing membawa nama dan imej negara, namun demi tanggungjawab dan kewajipan untuk merealisasikan agenda negara dan demi pusaka yang bakal diwariskan kepada generasi yang akan datang, maka segala usaha, idea, bakti dan keprofesionalan telah dicurahkan tanpa berbelah bahagi. Maka, berkat kesungguhan dan pengorbanan tangan-tangan ajaib tersebut, Konsert Persahabatan China-ASEAN telah meninggalkan kenangan terindah bukan sahaja kepada pihak yang terlibat, malah kepada para menonton yang datang untuk menyaksikan konsert tersebut pada malam 16 Disember 2015 yang lalu.

Penampilan Bei Bei dari China dengan imej rock ketika menyanyikan lagu The Old Springtime.

Sekalung penghargaan sewajarnya diberikan kepada pihak penganjur yang terdiri daripada Radio Antarabangsa China (CRI), Jabatan Akhbar dan Penerbitan, Radio dan Televisyen Guangxi serta pihak media sepuluh negara anggota ASEAN atas inisiatif tersebut. Kemesraan dan keluhuran budi yang ditunjukkan oleh pihak tuan rumah, iaitu China, amat disanjung tinggi, manakala sebagai sahabat yang berjiran, sepuluh negara anggota ASEAN pastinya amat berbesar hati menerima undangan dan salam persahabatan dari China, seperti kata pepatah Melayu, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Semoga persahabatan yang terjalin terus kekal,mesra dan kukuh selama hayat dikandung badan.

Persembahan istimewa daripada penyanyi terkenal kelahiran Indonesia, Bunga Citra Lestari ketika menyampaikan runut bunyi filem lakonan beliau, Ainun dan Habibie.

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China