Cari:
Pameran Lukisan Persahabatan Malaysia-China : Ikan Di laut, Asam Di Darat
2016-05-17 10:07:53 CRI Cetak

(Oleh Zaidah)

Pada 7 Mei lalu telah berlangsungnya pameran lukisan anjuran Kedutaan Malaysia di Beijing yang bertemakan, "Melaka: Di sini Bermulanya Persahabatan, Memperkasakan Kesalinghubungan Laluan Sutera Maritim". Pameran lukisan tersebut mempamerkan kira-kira 48 buah lukisan hasil interpretasi 13 pelukis hebat Malaysia dari perspektif budaya dan hubungan diplomatik Malaysia-China dahulu dan kini.

Melaka, China, Laluan Sutera Maritim, Laksamana Cheng Ho seperti sudah tertulis untuk wujud dalam satu jalur takdir yang sama. Daripada satu rentetan peristiwa, kini telah pun menjadi catatan sejarah. Daripada aturan aksara-aksara yang menukilkan kisah, kini sejarah bukan sekadar dibaca atau diimaginasikan di ruang minda, malah sudah boleh dilihat dengan mata dan dirasai hingga jauh di sudut hati. Pantun Melayu ada menyebut, dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati. Maka, usaha Kedutaan Malaysia di Beijing dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), Angkatan Pelukis SeMalaysia, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Malaysia & China, serta PERFECT China julung-julung kali mengadakan pameran lukisan tersebut dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi hubungan dalam kalangan rakyat kedua-dua pihak adalah usaha yang tepat kerana dengan melihat dan menghayati sendiri lukisan-lukisan yang berkisar tentang sejarah kedua-dua negara, sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan hormat antara satu sama lain, di samping menghargai dan sayang kepada persahabatan yang telah terjalin sejak beradab-abad yang lalu. Sekiranya ada perselisihan pendapat, tanganilah dengan bijak, ibarat buang yang keruh, ambillah yang jernih.

Generasi muda pada hari ini mesti melihat kesungguhan dan susah payah pemimpin terdahulu menjalinkan hubungan dan persahabatan dengan negara-negara lain, serta mencontohi mereka demi mewujudkan dunia yang aman dan makmur pada masa akan datang. Hubungan yang suatu masa dahulu hanya berpaksikan urusan jual-beli semata-mata, kini semakin luas merangkumi budaya dan hubungan diplomatik. Memang fitrah manusia, saling memerlukan antara satu sama lain. Melihat karya-karya Mohamad bin Hassan (MOHAS), Abdul Rahim Muda (IMUDA), Amirudin Ariffin, Shafie Haji Hassan, Maamor bin Jantan, Raja Mohamed Nizam, Hamidon Ahmed, Mohd Nawiah bin Kassim, Mohammad Selamat bin Senun (Selamat Cumat), Dr. Wong Seng Tong, Calvin Chua Cheng Koon, Alex Leong Yim Kuan dan Yasmeen Cheong Pooi Sum yang dipamerkan di Galeri Joyart Chaoyang, Beijing itu memang tersentuh perasaan. Ada kalanya terbuai juga perasaan seolah-olah telah kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sama ada lukisan-lukisan tersebut digambarkan secara tersirat, menggunakan imej, unsur kecindan atau secara tersurat, niatnya adalah satu, iaitu untuk memperlihatkan sejarah persahabatan yang mendasari hubungan kedua-dua negara dari dahulu hingga kini. Mengenang sejarah bukan bermaksud kita memandang ke belakang, namun merupakan persediaan untuk terus maju pada masa hadapan.

Presiden Persahabatan Malaysia-China (PPMC), Dato' Abdul Majid Ahmad Khan menyampaikan ucapan alu-aluan.

Duta Malaysia ke China, Dato' Zainuddin Yahya menyampaikan ucapan.

Upacara memotong reben bagi menandakan bermula Pameran Lukisan Persahabatan Malaysia-China

Duta Malaysia ke Beijing, Presiden PPMC, para pelukis dan wakil-wakil persatuan persahabatan Malaysia-China bergambar kenangan

1 2 3 4
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China