Cari:
Ada Apa dengan Teh?
2016-05-25 17:57:41 CRI Cetak

Teh adalah anugerah alam yang sangat bernilai dan menikmatinya dengan ditemani alam merupakan pengalaman yang sukar digambarkan dengan bait kata-kata. Khasiat teh memang tidak perlu diperdebatkan dengan panjang lebar, namun khasiat sahaja mungkin tidak cukup lengkap untuk menjamin sistem tubuh badan berfungsi dengan sempurna dan akal fikiran bertindak seiring dengan kewarasan.

Menyedari hakikat tersebut, maka upacara minum teh yang dianjurkan Radio Antarabangsa China (CRI), China.com dan Jabatan Publisiti Perbandaran Chaozhou di Jambatan Guangji dengan bersaksikan Gunung Han dan Sungai Han, seolah-olah menghantar mesej yang jelas bahawa kekuatan manusia terletak pada kekuatan hubungannya dengan alam.

Gelora jiwa mana yang tidak tenang saat menikmati secangkir teh dan merenung sungai yang terbentang luas sambil bermuhasabah diri bahawa kita ini sebenarnya hanyalah insan yang kerdil, mendengar deruan ombak yang memecah keheningan dan merasai bayu yang berpuput sepoi-sepoi bahasa.

Keresahan siapa yang tidak terubat tatkala dihidangkan dengan petikan bunyi ziter Cina yang lembut dan mendayu-dayu hingga meresap jauh di sudut hati, yang kemudian secara perlahan-lahan membawa pergi segala tekanan dan bebanan yang merantai diri serta berlatarbelakangkan kota bersejarah, Memorial Jalan Pintu Gerbang Chaozhou, yang membuatkan kita kembali menghargai penat jerih leluhur yang bersusah payah mendirikannya demi generasi yang akan datang.

Bukan setakat itu sahaja, teh juga mengajar kita erti kesabaran dan disiplin yang tinggi kerana kaedah dan tatatertib tertentu ketika menyediakan seteko teh sedikit sebanyak membentuk keperibadian diri. Sekiranya tidak mematuhi cara yang betul, tidak mustahil khasiat teh akan hilang begitu sahaja.

Maka, siapakah yang berkata teh hanya sekadar melepaskan dahaga? Hanya yang memahami falsafah teh sahaja yang akan tahu bahawa selain sebagai minuman, teh juga adalah budaya, hiburan dan meditasi terbaik untuk memulihkan kekuatan dalaman.

Oleh itu, sekiranya melalui kehidupan yang mencabar dan menduga diri, jangan sesekali berputus asa. Carilah penawar diri yang sememangnya sudah tersedia di sekeliling anda. Bukalah mata dan pintu hati, anda pasti akan menemukannya.

Sekarang, giliran anda pula memberitahu saya, ada apa dengan teh?

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China