Cari:
Khazanah di Hujung Selatan
2016-05-26 15:28:42 CRI Cetak

Rupa-rupanya nun di bahagian paling timur provinsi Guangdong tersimpan khazanah negara yang amat berharga. Dalam keadaan daerahnya yang begitu tenang dan senyap, siapalah yang menyangka "kekayaan dan kekuatan" Chaozhou tidak pun kurang berbanding dengan kawasan-kawasan lain, bak kata pepatah Melayu, diam-diam ubi berisi.

Chaozhou boleh dikategorikan sebagai kota lama yang menyimpan sejarah beribu-ribu tahun yang lalu, selain terkenal sebagai "kawasan pantai yang kaya budaya" dan bandar budaya yang penting bagi Laluan Sutera Maritim. Mungkin mahu memelihara nilai-nilai kebudayaannya yang tinggi, maka dari segi "rupa" Chaozhou kelihatannya begitu sederhana dan agak tersasar daripada arus kemodenan. Ah, apalah yang ada pada rupa!

Terdapat ungkapan Inggeris yang menyebut, "Don't judge a book by its cover" yang mungkin sesuai sebagai mukadimah untuk memperkenalkan Chaozhou. Namun, setelah mengenali Chaozhou, rupa-rupanya seumpama mutiara di dasar lautan. Perasaan kagum, terpesona dan "iri hati" bercampur-baur setiap kali melihat hasil kekayaan dan keunikan Chaozhou.

Kesempatan melawat ke syarikat seramik, The Great Wall of Culture Group Holdin; kilang teknologi tinggi, Chaozhou Three-Circle Co., Ltd; studio pembuatan teko teh, Xiehua; perkampungan e-dagang, Jieyang E-Commerce Village dan syarikat sulaman, Famory Group yang terdapat di Chaozhou dan Jieyang ternyata pengalaman yang sungguh luar biasa. Kesemua perusahaan tersebut bukan sahaja merupakan tonggak dan kebanggaan Chaozhou dan Jieyang, malah seluruh China.

Tidak dinafikan setiap negara mempunyai keunikan budaya dan seni kraf masing-masing, namun yang perlu dicontohi daripada semua perusahaan tersebut adalah "resipi kejayaan" serta kesungguhan mereka, termasuk para pemimpin yang tidak pernah jemu-jemu dalam usaha untuk memajukan diri demi mencapai matlamat dan kejayaan dalam hidup, seperti ungkapan Arab, "man jadda wa jadda" yang bermaksud, sesiapa yang berusaha, pasti akan beroleh kejayaan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China