Cari:
Nantikan Imej Baharu Kaunti Pan
2016-11-16 11:45:30 CRI Cetak

oleh Zaidah

Kaunti Pan yang terletak paling barat di provinsi Guizhou mungkin masih belum heboh diperkatakan di sana di sini. Rata-rata, apabila menyebut kaunti tersebut, perkara pertama yang akan timbul ialah kawasan mundur dan penduduk miskin. Kini, sama ada anda percaya atau tidak, kaunti Pan sudah berwajah baharu dengan imej yang lebih moden dan terkini. Walaupun perubahan tersebut boleh dikatakan masih di peringkat awal, namun dengan strategi yang berkesan dan hala tuju yang tepat, tidak mustahil kaunti Pan akan terus membangun dengan pesat, sekali gus menghapuskan terus label 2M (mundur dan miskin) yang pernah terpalit pada kaunti tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Parti Komunis Kaunti Pan, Fu Guoxing, kaunti Pan kini sedang giat melaksanakan empat strategi utama, iaitu membasmi kemiskinan, data besar, pelancongan dan perindustrian. Ada satu perkara yang agak menarik mengenai usaha membasmi kemiskinan di kaunti tersebut, iaitu membasmi kemiskinan dengan cara yang betul dan tepat. Kalau sebelum ini, golongan miskin akan diberikan bantuan berupa barang keperluan dan wang tunai semata-mata, namun cara " menyuap" tersebut ternyata sudah tidak praktikal lagi pada alaf ini. Oleh itu, pihak kerajaan akan mengambil pelbagai langkah dengan menyiasat dan meneliti punca-punca kemiskinan golongan tersebut sebelum mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan kemampuan dan keperluan mereka.

Kaedah tersebut sememangnya harus dicontohi kerana sampai bila golongan miskin tersebut mahu terus meraih simpati dan belas kasihan orang lain tanpa mahu berusaha untuk keluar daripada dihimpit kemiskinan. Kemiskinan adalah sesuatu yang sudah ditakdirkan. Tiada sesiapa pun dalam dunia ini yang mahu hidup melarat, namun siapalah kita untuk menolak suratan takdir yang telah pun tertulis. Tidak ada salah atau buruknya menjadi miskin, yang salah ialah terus membiarkan diri dibelenggu kemiskinan dan lebih buruk lagi apabila kemiskinan tersebut diwariskan kepada anak dan cucu-cicit. Yakinlah bahawa nasib seseorang itu tidak akan berubah selagi dirinya sendiri tidak memiliki keinginan untuk mengubahnya.

Walaupun menurut data, jumlah penduduk miskin di kaunti tersebut mencecah 100 ribu orang, namun pihak kerajaan amat optimistik untuk menyelesaikan masalah tersebut dan memastikan tiada lagi penduduk miskin di kaunti Pan menjelang tahun 2018. Sekiranya dilihat pada strategi pelancongan dan perindustrian yang sedang giat dilaksanakan, tidak mustahil harapan tersebut menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi melalui pelbagai kerjasama antara kaunti Pan dengan ASEAN dalam kapasiti pengeluaran, di samping pembinaan infrastruktur yang sedang rancak dilaksanakan pada ketika ini. Menurut Rancangan Pembangunan Lima Tahun ke-13, semua kawasan di kaunti tersebut akan mempunyai lebuh raya, selain pembinaan kereta api laju dari Shanghai ke Kunming, yang akan singgah di kaunti Pan. Semua usaha tersebut pasti merancakkan sektor pelancongan di kaunti Pan yang sedikit suram pada ketika ini lantaran masalah pengangkutan yang sering dihadapi oleh para pelancong yang mahu berkunjung ke kaunti tersebut.

Berdasarkan pengamatan, kaunti Pan kini sudah bersedia untuk muncul sebagai "peserta baharu" dalam liga kerjasama di rantau ini. Pastinya semua peserta "senior" dalam kalangan negara-negara ASEAN amat mengalu-alukan kemunculan kaunti Pan sebagai rakan sepasukan yang akan menyumbang dan bekerja bersama-sama demi kemakmuran ekonomi dunia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China