Cari:
Qujiang, Melakar Xian di Pentas Dunia
2017-04-24 10:04:34 CRI Cetak

oleh: Zaidah Ahmad Rosly

Syarikat Qujiang Film & TV yang ditubuhkan pada bulan April 2006 telah pun genap 11 tahun pada tahun ini. Setelah 11 tahun berlalu, "jenama" syarikat tersebut semakin dikenali ramai. Setakat ini, syarikat tersebut telah menghasilkan 20 opera, filem dan dokumentari yang disiarkan di 40 buah negara dan kawasan di seluruh dunia, sekali gus menjadi syarikat perfileman yang terkenal, bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.

Kita sudah sedia maklum, filem-filem yang bertemakan percintaan atau yang mempunyai unsur-unsur komersial sering mendapat perhatian golongan generasi muda pada hari ini, manakala yang berkaitan dengan sejarah dan budaya tempatan, ada kalanya kurang diminati. Hal seumpama itu sebenarnya terjadi hampir di semua negara. Namun, dengan adanya strategi dan promosi yang tepat, tidak mustahil, filem-filem yang berkaitan dengan sejarah dan budaya akan mendapat tempat di hati para penonton di pelbagai lapisan umur.

Walaupun sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul oleh mereka amatlah berat, iaitu terus menghasilkan filem, opera dan dokumentari yang berasaskan sejarah dan budaya, namun tidak sedikit pun membuatkan karyawan Syarikat Qujiang Film & TV berasa ragu-ragu untuk meneruskan usaha, malah semakin berani mengorak langkah ke arena antarabangsa dengan menyertai pelbagai pesta dan minggu filem, antaranya termasuklah Minggu Filem Australia-China, Minggu Filem Antarabangsa Jalan Sutera, Minggu Filem China-ASEAN dan Pesta Filem Satu Jalur Satu Laluan (B&R). Malah lebih membanggakan, sudah 50 peratus filem keluaran Syarikat Qujiang Film & TV berjaya menembusi pasaran Asia Tenggara, di samping banyak disiarkan di media-media utama benua Afrika. Penyertaan aktif syarikat berkenaan di pentas antarabangsa juga bertepatan dengan matlamat utama syarikat tersebut, iaitu merebut peluang untuk menjadikan syarikat lebih hebat dan berpengaruh.

Sememangnya, usaha murni Syarikat Qujiang Film & TV dalam menghasilkan empat dokumentari yang berkaitan dengan sejarah dan budaya Xian seperti Sejarah Xian, Wawasan 2020 Xian, Persembahan Muzik Qin Qiang dan Istana Da Ming, selain filem Yoga Kung Fu, Zhang Qian, Taman Fu Rong Dinasti Tang, Xian Xinghai di samping filem terbaharu, "Musician" yang masih dalam proses pembikinan harus dipuji dan dicontohi. Hal tersebut disebabkan "membaca" sebuah filem tidak dapat dilakukan hanya dengan menyorot mata ke arah layar putih, malah lebih kompleks kerana filem merupakan entiti yang dihasilkan dengan pelbagai latar yang disatukan secara harmoni. Oleh itu, filem bukan sekadar satu seni, bahkan mencerminkan citra sesuatu bangsa.

Menurut Ron Mottram dalam tulisannya, "Cinema and Communication (1990), "Film reflects the cultural codes of society in which they are produced", yang menunjukkan bahawa melalui filem kita mampu membaca pemikiran dan keunggulan budaya sesuatu bangsa, selain belajar mengenai pelbagai perkara dalam konteks kehidupan. Manakala Sigfried Kraauer pula berpendapat, "The film of a nation reflects its mentality in a more direct than other artistic media", yang menjelaskan bahawa melalui filem, mentaliti sesuatu bangsa dapat difahami secara terus berbanding dengan media-media lain. Maka, menghasilkan filem-filem berkualiti yang sarat dengan nasihat dan inspirasi seharusnya menjadi hasrat setiap karyawan filem, di samping menjadi harapan setiap orang yang menontonnya kerana filem yang bermakna mampu menjadi instrumen penting dalam membangunkan karakter bangsa.

Ketika ditanya mengenai nama Qujiang, ada maksud tersirat disebalik nama tersebut. Qu bermaksud tidak lurus, manakala Jiang pula bermaksud sungai. Kedudukan sungai tersebut yang terletak di bahagian tenggara dikatakan sangat sangat bertuah, berbanding dengan kawasan yang berada di bahagian barat. Oleh itu, Sungai Qu menjadi terkenal di Xian dan merupakan tempat pertemuan para seniman untuk menghasilkan pelbagai karya, di samping bertukar-tukar idea. Terdapat ungkapan yang menyebut, jika Xian boleh mewakili China, maka Qujing dikatakan boleh mewakili Xian. Begitulah eratnya hubungan antara kedua-duanya.

Alangkahnya sayangnya jika sejarah dan budaya Xian yang begitu hebat itu tersimpan begitu sahaja. Oleh itu, usaha Syarikat Qujiang Film & TV pada masa akan datang untuk meneruskan Pesta Filem B&R dan menjalinkan kerjasama dengan Kazakhstan dalam menghasilkan filem "Musician" diharapkan akan mendorong komunikasi dan pertukaran kebudayaan dengan pelbagai negara lain.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China