Cari:
Beilin, Hutan Batu Yang Menyimpan Kata-kata
2017-04-25 09:48:28 CRI Cetak

oleh Zaidah Ahmad Rosly

Kalau sudah tiba di Xi'an, rugi besar rasanya kalau tidak singgah di Muzium Beilin. Mungkin mendengar nama "muzium" tidak menimbulkan keghairahan seperti mendengar perkataan "membeli-belah", namun jika anda memberi peluang kepada diri sendiri untuk melihat khazanah yang tersimpan di Muzium Beilin, anda pasti tersenyum bahagia, tatkala melalui pintu keluar muzium tersebut.

Apakah keistimewaan muzium tersebut? Kalau sudah nama pun muzium, pasti yang tersimpan di situ ialah barang-barang lama. Memang di Muzium Beilin tersimpan 4000 batu-batu yang telah diukir dengan pelbagai bentuk tulisan, di samping telah bersejarah hampir 900 tahun yang lalu. Saat memasuki muzium ini, anda akan terlupa yang anda memasuki muzium kerana persekitarannya seumpama anda berada di dalam sebuah taman. Pepohon yang tumbuh menghijau di kiri dan kanan anda menimbulkan suasana damai, selain kenyamanan yang begitu menyegarkan. Bunyi burung yang berkicau-kicauan membuatkan anda berasa seolah-olah anda sedang merentasi kawasan hutan belantara. Manakala, astaka berbumbung kuning di pintu masuk muzium tersebut, yang dibina oleh keluarga diraja, menambahkan kemegahan muzium berkenaan.

Dengan persekitaran yang bersih dan koleksi yang berharga, masa yang dihabiskan di Muzium Beilin pasti sangat berbaloi. Perlahan-lahan menikmati batu-batu yang terukir pelbagai tulisan dan kaligrafi unik sambil meneliti sejarahnya satu persatu, tentu akan mewujudkan satu kesan baru dalam diri, iaitu semangat untuk terus mendalami dan mempelajari budaya China. Orang zaman dahulu, walaupun hidup mereka serba sederhana, namun sarat dengan falsafah dan hikmah. Setiap kata-kata dan tulisan mereka penuh dengan pelbagai ajaran dan pedoman hidup.

Di situ anda berpeluang untuk menghayati tulisan dan kaligrafi yang dihasilkan oleh Yan Zhenqing. Yan Zhenqing, yang banyak menulis tentang keluarga Yan, dikatakan sangat disukai oleh rakyat China kerana hasil karyanya yang sungguh memikat hati. Kalau karya Yan Zhenqing sudah hebat, karya Liu Gongquan juga sangat istimewa dan terkenal dalam sejarah China. Jika dibandingkan dari segi bentuk tulisan, huruf-huruf yang ditulis oleh Yan lebih besar dan bulat, manakala huruf-huruf Liu lebih panjang, tinggi dan kurus, serta lebih sukar untuk dipelajari. Namun, ada seorang lagi penulis yang lebih hebat daripada kedua-dua penulis sebelum ini, iaitu Wang Xizhi. Wang Xizhi yang terkenal pada zaman Dinasti Jin Timur turut digelar pendeta kaligrafi. Oleh sebab hasil-hasil karya Wang Xizhi amat diminati oleh Maharaja Taizhong, maka baginda telah mengarahkan pegawainya untuk mengumpulkan semua karya Wang Xizhi.

Selain itu, dalam sejarah China juga terdapat sami yang suka minum arak, namun berkebolehan untuk menghasilkan kaligrafi dengan gaya yang sangat menarik dan unik. Sami tersebut, iaitu Huaisu dan Zhang Xu akan mula menulis setelah minum arak. Istimewanya apabila Huaisu menulis, tulisan tersebut tidak akan terputus, daripada huruf pertama hingga huruf terakhir. Oleh itu, Huaisi sangat terkenal dengan panggilan "skrip tulisan sambung berconteng-conteng". Manakala, Zhang Xu, yang juga dikenali sebagai "Zhang gila", apabila terlalu gembira setelah minum arak, beliau akan membuka topi dan menulis kaligrafi dengan menggunakan rambutnya. Sekiranya anda mahu melihat keunikan kaligrafi dua sami tersebut, di samping kaligrafi penulis lain anda mestilah mengunjungi Muzium Beilin.

Selain itu, ada satu teknik penyalinan yang agak menarik untuk dilihat. Jika pada zaman ini, para pelajar amat mudah untuk menyalin nota dengan adanya mesin pencetak, namun berbeza dengan pelajar zaman dahulu. Ekoran payahnya proses menuntut ilmu itulah yang menyebabkan mereka amat menghargai ilmu dan menghormati guru. Di situ, akan ditunjukkan cara menyalin nota dengan melekatkan kertas pada dinding batu yang terdapat tulisan dan gambar. Menarik, bukan?

Kalau berada di hutan batu biasanya tidak banyak yang dapat dihayati, tetapi berada di hutan batu Beilin, anda pasti dapat menimba pelbagai ilmu, di samping membaiki potensi diri.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China