Cari:
Terra-Cota dan Chan-Ba Nadi Kota Xi'an
2017-04-26 15:46:22 CRI Cetak

oleh Zaidah Ahmad Rosly

Muzium Terrra-Cota dikategorikan sebagai destinasi pelancongan "wajib dikunjungi" jika melawat ke Xi'an. Di muzium tersebut tersimpan tentera Maharaja Qin Shi Huang, bukan tentera sebenar, tetapi patung tentera yang dihasilkan daripada tanah. Tentera-tentera tersebut berperanan untuk melindungi Maharaja Qin sebagai persediaan mereka untuk menghadapi kehidupan selepas kematian. Uniknya, setiap patung yang diukir itu berbeza dan dikhabarkan mengikut wajah sebenar manusia. Ada yang ketawa, tersenyum, bengis, selain diukir memiliki perut yang besar kerana perut besar merupakan satu "trend fesyen" pada ketika itu. Purata ketinggian setiap tentera pula ialah 1.8 meter, dengan yang paling tinggi ialah 2 meter.

Pembinaan tentera Terra-cotta memakan masa selama 37 tahun dengan hasil keringat tenaga buruh seramai 700,000 orang. Sejarah itu tertanam sedalam 4.6 meter (15 kaki) di bawah tanah selama lebih 2,200 tahun bersama-sama dengan kemangkatan Maharaja Qin, yang disemadikan di kawasan yang berjarak 1.5 kilometer dari muzium tersebut, sewaktu baginda berusia 50 tahun.

Kawasan muzium yang seluas lebih 1,486 meter persegi (16,000 kaki persegi) itu mengandungi tiga buah pit dan sebuah dewan pameran. Walaupun Pit 1 merupakan pit yang paling terkenal, namun Pit 3 dikatakan sangat penting kerana di situlah terletaknya pusat pentadbiran Maharaja Qin. Terdapat kira-kira 8,000 patung tentera di muzium tersebut, namun patung yang dijumpai masih lengkap hanya 2,000, manakala 6000 lagi dalam keadaan tidak lengkap dan rosak.

Menurut sejarah ketika beberapa orang petani dari daerah Lintong menggali perigi di kawasan bukit tersebut, mereka telah menjumpai tempat yang disembunyikan itu. Penemuan itu berlaku pada 1974 setelah 2,200 tahun makam itu tertanam. Menurut penduduk tempatan, mereka tidak tahu akan kewujudan makam tersebut sehinggalah penemuan tersebut terbongkar dan mendapat perhatian dunia.

Muzium yang berjaya menarik kedatangan hampir lima juta pelancong setiap tahun itu disenaraikan sebagai destinasi pelancongan 5A peringkat negara, dan disifatkan sebagai muzium dan tapak tinggalan arkeologi terbaik di China.

Selain daerah Lintong yang terkenal dengan Muzium Terra-Cota, ada satu lagi kawasan di Xian yang memiliki keistimewaan tersendiri, iaitu Daerah Ekologi Chan-Ba, yang terletak di bahagian timur laut Xian. Daerah tersebut merupakan kawasan pembangunan pertama yang memiliki "Green-tag" di China, selain merupakan kawasan ekologi negara serta kawasan perlindungan dan pemulihan ekosistem air negara yang pertama di bahagian timur laut China, di samping satu-satunya kawasan pembangunan yang disenaraikan sebagai zon projek rintis pembangunan ekologi negara. Siapa yang pernah menyangka, dari sebuah kawasan yang pernah dicemari dengan lebih 20,000 meter persegi sampah-sarap, kini telah berubah 360 darjah menjadi sebuah kawasan yang bersih dan berdaya maju. Hal tersebut jelas membuktikan bahawa jika mempunyai keinginan yang kuat untuk berjaya atau mengubah diri untuk menjadi lebih baik, perkara tersebut adalah tidak mustahil untuk diperoleh, seperti ungkapan "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

Nama Chanba adalah nama daripada nama dua batang sungai yang mengalir di kawasan tersebut, iaitu Sungai Chanhe dan Sungai Bahe. Limpahan air dari kedua-dua sungai tersebut, bukan sahaja telah membawa kemakmuran, malah turut mengindahkan landskap kawasan itu. Setelah 10 tahun bertungkus-lumus menjalankan pembangunan ekologi di Sungai Chanhe dan Sungai Bahe, Daerah Ekologi Chan-Ba kini telah mendahului usaha dalam pembangunan ekologi, di samping gigih berusaha untuk mencipta interaksi positif antara bidang perindustrian dan persekitaran ekologi. Sememangnya untuk maju, kedua-dua bidang tersebut tidak boleh tertinggal. Hasilnya, beberapa aktiviti penting seperti Forum Ekonomi Euro-Asia, Perlumbaan Bot Kuasa F1 dan Ekspo Hortikultur Antarabangsa 2011 telah diadakan di Daerah Ekologi Chan-Ba disebabkan persekitarannya ekologinya yang baik.

Kini, Daerah Ekologi Chan-Ba telah menjadi jendela baharu bagi kota Xian, melalui keistimewaan ekologi, landskap, pelancongan dan ekonominya. Di situ, sumber alam dan manusia dapat hidup bersama dengan harmoni. Sungai Bahe sering menjadi pilihan orang ramai untuk berehat dan beriadah, manakala kawasan Daerah Ekologi Chan-Ba pula disifatkan sebagai daerah yang paling sesuai dan paling baik untuk didiami.

Kesimpulannya, semakin mengenali Xian, semakin terserlah keunikan, kehebatan dan keistimewaannya.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Periuk Besi Jadi Alat Muzik

• Padang Sesawi Saujana di Yili, Xinjiang
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China