Cari:
INNO Park, Perintis Inovasi Provinsi Shaanxi
2017-04-27 09:53:44 CRI Cetak

oleh Zaidah Ahmad Rosly

Pada era globalisasi ini kreativiti dan inovasi semakin memainkan peranan yang penting dalam usaha memajukan sesuatu bidang. Tanpa inovasi, bidang-bidang tersebut boleh dikatakan sudah ketinggalan dan lapuk ditelan zaman. Kreativiti dan inovasi merujuk kepada melakukan sesuatu di luar kebiasaan. Kreativiti dan inovasi juga boleh dikaitkan dengan pembaharuan, penambahbaikan, penciptaan dan penemuan. Sebagai contoh, jika dahulu telefon hanya digunakan sebagai alat komunikasi, namun kini telefon bukan sahaja alat untuk berkomunikasi tetapi juga sebagai peranti hiburan, Internet, kamera, dan sebagainya.

Seiring dengan ledakan perubahan tersebut, sebuah platform yang berorientasikan kreativiti dan inovasi telah ditubuhkan di kota Xi'an. Satu kawasan yang disebut Xian Maker District adalah tempat terletaknya INNO Park, pusat perkhidmatan keusahawanan dan inovasi yang serba baharu dan canggih, yang ditubuhkan oleh Pioneering Park Development Centre dengan kerjasama pelbagai agensi perkhidmatan yang bertauliah. Antara perkhidmatan yang terdapat di INNO Park termasuklah Pusat Perkhidmatan Keusahawanan dan Inovasi, Dewan Pameran Keusahawanan dan Inovasi, Ruang Pencipta Muda, Ruang Pencipta Profesional, Agensi Kewangan, Pusat Latihan, dan sebagainya.

Yang menariknya di INNO Park ialah di situ, syarikat-syarikat akan dikumpulkan di bawah satu bumbung bagi memudahkan mereka menjalankan atau memberikan perkhidmatan. Pada setiap hari Rabu, misalnya, diadakan sesi taklimat dan perbincangan antara syarikat atau individu yang mahu mencari pekerjaan. Syarikat yang memerlukan tenaga kerja akan menyenaraikan keperluan mereka berserta dengan maklumat syarikat pada papan kenyataan, manakala mana-mana individu yang berminat boleh terus berjumpa dengan wakil syarikat yang bersedia untuk memberikan khidmat nasihat. Selain itu, syarikat-syarikat juga boleh membuka pejabat mereka di situ, di samping memberikan bantuan dan sokongan dari segi latihan keusahawanan kepada syarikat-syarikat baru bagi memastikan perniagaan mereka dapat terus berkembang.

Konsep seumpama itu patut dipelajari dan dilaksanakan oleh pelbagai negara, khususnya negara-negara membangun kerana dengan andanya pusat seperti itu pelbagai syarikat dapat berkumpul, lebih-lebih lagi syarikat-syarikat baru bagi membolehkan mereka bertukar-tukar idea serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan, antara sesama mereka atau dengan syarikat-syarikat lain yang lebih berpengalaman dalam selok-belok perniagaan. Dalam perniagaan, tempoh tiga tahun pertama adalah tempoh yang paling mencabar. Sekiranya sebarang masalah gagal diselesaikan, maka adalah mustahil perniagaan tersebut dapat diteruskan. Sesebuah organisasi perlu mengambil kira beberapa faktor dalam menjalankan perniagaan. Antara faktor-faktor utama tersebut termasuklah kepimpinan, penyelesaian masalah dan strategi. Seseorang ahli perniagaan bukan sahaja memerlukan dana atau pembiayaan, mereka juga memerlukan bimbingan dan nasihat dalam memajukan perniagaan mereka.

Sejak ditubuhkan kira-kira 26 tahun yang lalu, INNO Park telah pun menjalinkan kerjasama dengan 14 buah syarikat dari seluruh dunia, termasuk lapan buah universiti. Sebagai salah satu platform penting di bawah Kementerian Teknologi China, kerajaan amat menyokong penubuhan pusat berkenaan. Hal tersebut dapat dilihat melalui peluasan tapak pusat tersebut, iaitu daripada 4000 meter persegi yang diberikan oleh kerajaan pada asalnya, kini telah menjadi 300 ribu meter persegi. Sambutan positif daripada pelbagai syarikat atau agensi seperti China Robotic, Formlabs Printing Smart Manufacture Centre, Flying Apsaras Makerspace of Northwestern Polytechnical University, Anteocular Sight AR, VR Science & Technology Museum, Innohealth, Entrepreneuriul Derivatives Concept Store of Inno Park dan Shaan Thirtheen- Tea House adalah faktor utama lokasi pusat tersebut diperluas.

Sebagai sebuah platform khidmat keusahawanan yang menuju ke arah kreativiti dan inovasi, INNO Park bukan sahaja merupakan permulaan baru bagi transformasi perkhidmatan keusahawanan dan inovasi, malah penggerak utama bagi Xian Maker District pada masa akan datang. Semoga visi dan misi INNO Park untuk menjadi perintis dalam menghasilkan idea dan teknologi baharu akan dapat direalisasikan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China