Cari:
Baoji Yang "Berharga"
2017-04-28 09:50:07 CRI Cetak

oleh Zaidah Ahmad Rosly

Bandar Baoji terletak di bahagian barat provinsi Shaanxi, kira-kira 2 jam perjalanan dengan bas dari kota Xian. Bandar yang tenang dan serba sederhana itu dikelilingi oleh gunung-ganang di bahagian selatan, barat dan utara, manakala sungai yang terkenal di Baoji, iaitu Sungai Weihe terletak di tengah-tengah. Gunung dan bukit dianggarkan meliputi 83 peratus daripada keseluruhan kawasan. Oleh itu, keunikan landskap Baoji terletak pada keindahan kawasan sungainya, di samping kawasan pergunungan yang mengagumkan.

Sememangnya bandar Baoji, yang dikenali sebagai Chen Cang pada zaman dahulu, juga kaya dengan pelbagai sumber kebudayaan, walaupun mungkin tidak sehebat kota bersejarah, Xian. Antara destinasi yang mesti dilawati sekiranya berada di Baoji termasuklah Muzium Gangsa. Di muzium tersebut terdapat banyak perkakasan yang diperbuat daripada gangsa, dan perkakasan tersebut dikatakan telah berusia hampir 3000 tahun. Terdapat satu penemuan yang dianggap paling istimewa di muzium tersebut, iaitu sebuah pasu yang diukir dengan tulisan kuno China. Menurut sejarah, bermula pada zaman Dinasti Zhou sudah wujud sistem tulisan seperti yang digunakan pada hari ini. Namun, pada ketika itu masih belum terdapat kertas untuk mencatat tulisan tersebut. Maka, orang zaman itu telah menggunakan pelbagai perkakas seperti pasu, mangkuk, pinggan, dan sebagainya sebagai tempat untuk menulis. Melalui perkakas-perkakas tersebutlah ahli arkeologi menjumpai tulisan kuno China, selain catatan sejarah mengenai Dinasti Zhou.

Selain mengekalkan keunikan budayanya, bandar Baoji juga tidak mahu ketinggalan dalam bidang perindustrian. Baoji amat terkenal dengan titanium. Syarikat Baoti Group, bukan sahaja syarikat pengeluar titanium yang paling terkenal di China, malah di peringkat antarabangsa. Syarikat tersebut turut menjalankan pelbagai penyelidikan sains mengenai titanium di China. Selain itu, titanium yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut telah mencapai standard antarabangsa setelah mendapat pengiktirafan daripada syarikat-syarikat terkemuka dunia seperti Boeing, Goodrich, Airbus, Rolls Royce, Aubert&Duval, dan sebagainya. Mungkin tiada siapa yang menyangka, di sebuah bandar yang kecil terdapat sebuah syarikat yang telah menempa nama di arena antarabangsa. Seperti pepatah Melayu, kecil-kecil cili api, sungguhpun kecil, namun berani.

Oh, ya! Tidak lengkapnya rasanya kalau sudah tiba di sesuatu destinasi, tidak menikmati makanan tempatan. Terdapat satu hidangan yang menjadi "menu wajib" di Baoji, iaitu Mi Qishan Shaozi. Hidangan tradisional yang telah dimakan sejak zaman dahulukala itu menggunakan mi yang panjang, nipis dan dibuat dengan tangan sebagai ramuan utama. Sekiranya dilihat pada gambar, minyak cili seolah-olah terapung di permukaan kuah atau sup, yang pastinya menghasilkan rasa yang pedas, selain sedikit masam. Hidangan tersebut sering dihidangkan semasa sambutan pelbagai perayaan, di samping majlis-majlis penting seperti perkahwinan, ulang tahun kelahiran dan meraikan tetamu. Bagi penggemar mi, jangan lupa untuk merasai hidangan tersebut sekiranya berkunjung ke Baoji.

Keunikan yang ada di bandar tersebut sememangnya amat bernilai, sesuai dengan nama bandarnya, iaitu Bao yang bermaksud berharga, manakala Ji pula bermaksud ayam jantan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China