Cari:
Musim Gugur di Beijing
2017-10-31 14:14:15 CRI Cetak

oleh Puteri Sabira

Musim gugur di China adalah masa yang terbaik untuk menikmati keindahan pohon-pohon yang berdaun kuning cerah.

Saya diberitahu waktu yang paling sesuai untuk menikmati musim gugur di Beijing adalah bulan Oktober sehingga awal bulan November.

Cuaca tidak terlalu sejuk, dan kebanyakkan daun akan bertukar menjadi warna kuning atau merah, dan saya terkesima melihat keindahan daun-daun yang berguguran serta pohonnya di sekitar The Summer Palace.

The Summer Palace memang wajib dikunjungi, bukan sahaja cantik dengan danau yang sejuk mata memandang, malah ia meninggalkan banyak sejarah.

The Summer Palace atau Taman Yihe terletak di barat laut Beijing. Istana ini mula dibina pada tahun 1709 semasa pemerintahan Maharaja Kangxi Dinasti Qing (1644-1912). Dalam 150 tahun seterusnya, taman ini telah berkembang menjadi istana diraja besar-besaran, yang meliputi kawasan seluas lebih 864 ekar.

Keindahan bangunan di istana ini terdiri daripada dewan yang indah, astaka, bilik, kiosk, batu-batan yang unik, bunga serta rimba yang eksotik, dan di tengah- tengah tasik ini dibina jambatan dengan pokok-pokok di sekelilingnya.

Malah, ia merangkumi inti pati perkebunan landskap kuno Cina.

Selain itu, saya juga berkesempatan ke daerah Changping, di mana jarak perjalanannya 2 jam dengan menaiki Subway dari Babaoshan. Di situ, saya diberi peluang untuk ke "Gingko Forest" yang di mana pohon-pohonnya bertukar warna keemasan dan merah.

Saya dan rakan saya tiba di sana seawal jam 10 pagi, dan kebanyakan rakyat tempatan tidak lepas mengambil peluang untuk beriadah dan berbasikal pada waktu yang dingin.

Daerah Changping sangat bersih, dan terkenal dengan tempat-tempat yang indah dan kemudahan pelancongan, seperti kolam air panas serta spa. Ia kaya dengan sumber semula jadi, produk mineral, dan produk luar bandar.

Udara pada pagi itu segar dan nyaman, kelihatan kanak-kanak dan keluarga berkumpul sambil menikmati keindahan pemandangan yang memukau.

Terdapat juga warga emas menjual makanan dan minuman demi menjana pendapatan.

Ada juga yang berbasikal dan bersenam di sekitar taman itu bersama-sama ahli keluarga.

Di Beijing, terdapat banyak taman serta tempat rekreasi untuk anda beristirehat, jika anda tidak mahu tempat yang ramai pelancong, di Beijing terdapat banyak taman yang tidak begitu dikenali, mempunyai pemandangan yang indah dan tidak disesak dengan ramai orang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China