Cari:
Asal Usul Hari Qingming
2009-04-03 15:06:57 CRI Cetak

Hari Qingming merupakan satu perayaan tradisional China yang berasal dari zaman Dinasti Zhou lagi, iaitu lebih 2500 tahun yang lalu. Terdapat sebuah legenda tentang hari Qingming itu.

Kononnya, pada zaman Chunqiu (tahun 770 SM -- tahun 476 SM), gundik Raja Xian dari Negeri Jin berniat untuk menjadikan anaknya sendiri pengganti raja. Maka dia pun menganiaya putra mahkota, iaitu Shen Sheng, sehingga putra mahkota itu membunuh diri. Adik lelaki kepada Shen Sheng, iaitu Chong Er turut melarikan diri. Dalam tempoh dibuang negeri, Chong Er hidup miskin dan sentiasa susah. Oleh sebab itu, kebanyakan pengikutnya pun meninggalkannya. Salah seorang pengikut Chong Er yang bernama Jie Zitui amat dan taat setia pada Chong Er. Pada suatu hari, Chong Er jatuh pengsan kerana kebuluran. Jie Zitui pun memotong daging daripada kakinya sendiri dan memasak daging itu untuk dimakan oleh tuannya. 19 tahun kemudian, Chong Er telah kembali ke negeri Jin dan berjaya merampas kembali takhta dan menjadi raja, iaitu Raja Wen yang terkenal pada zaman itu.

Selepas Raja Wen berjaya mendapat kuasa pemerintahan, baginda menganugerahkan barang atau pangkat kepada pengikut-pengikut yang taat padanya, tetapi terlupa akan Jie Zitui. Maka ada orang yang mencadangkan supaya Jie Zitui diberi anugerah yang sepatutnya. Raja Wen teringat akan peristiwa yang telah berlaku lalu segera menghantar orang untuk menjemput Jie Zitui. Namun, Jie Zitui menolak anugerah itu. Maka, Raja Wen pun pergilah menziarahi Jie Zitui. Tetapi, ketika Raja Wen tiba di rumah Jie Zitui, barulah baginda mengetahui bahawa Jie Zitui telah melarikan diri bersama-sama dengan ibunya ke hutan Mianshan. Raja Wen menyuruh tenteranya mencari Jie Zitui dalam hutan itu, tetapi mereka tidak menemuinya. Ada orang mencadangkan kepada Raja Wen supaya membakar hutan Mianshan itu untuk memaksa Jie Zitui keluar. Maka, Raja Wen pun mengarahkan orang untuk membakar hutan tersebut.

Kebakaran itu berlangsung selama tiga hari, tetapi Jie Zitui tidak juga keluar. Selepas kebakaran itu dipadamkan, tentera Raja Wen terus mencari Jie Zitui dalam hutan itu. Mereka mendapati Jie Zitui dan ibunya sudah mati terbakar di tepi sebatang pokok.

Raja Wen berasa amat sedih dan menangis ketika melihat mayat Jie Zitui, lalu mengarahkan rakyat untuk mengebumikannya. Ketika itu, Raja Wen menemui sehelai kain yang bertulis sesuatu tersimpan di dalam sebuah lubang pada pangkal pokok yang disandar oleh Jie Zitui itu. Pada kain itu, Jie Zitui telah menulis sebuah sajak untuk menasihati Raja Wen supaya mentadbir negeri dengan cekap, bersih dan bijak. Perkataan bersih dan bijak dalam bahasa Mandarin ialah "Qing Ming". Demi memperingati Jie Zitui, Raja Wen telah menetapkan hari kematian Jie Zitui sebagai Hari Makanan Sejuk. Pada hari itu, api dilarang dinyalakan dan rakyat hanya boleh makan makanan yang sejuk.

Setahun selepas itu, Raja Wen sekali lagi pergi ke hutan itu untuk memperingati Jie Zitui. Selepas itu, baginda terus menetapkan hari itu sebagai hari Qingming.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China