Cari:
Warisan Sastera Klasik China: Li Sao
2008-12-03 16:09:15 CRI Cetak

"Li Sao" yang lahir lebih 2300 tahun dahulu, merupakan salah sebuah karya terkenal penyair China, Qu Yuan. Syair ini mengandungi lebih 2400 patah perkataan dan merupakan syair yang paling panjang pada zaman purba China.

Qu Yuan ialah seorang bangsawan Negeri Chu pada zaman wilayah China terbahagi kepada beberapa negeri kecil. Beliau pernah menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan negerinya dan nasihatnya selalu diminta oleh rajanya. Beliau juga diberi tugas mengurus penggubalan undang-undang dan hal ehwal luar. Dengan bantuan Qu Yuan, kekuatan Negeri Chu semakin meningkat. Oleh sebab personalitinya yang hebat dan suka berterus terang, fitnah telah dilemparkan ke atasnya, lalu Qu Yuan disisihkan oleh raja Negeri Chu. Pada tahun 305 Sebelum Masihi, beliau telah dibuang negeri. Dalam tempoh pembuangan negeri itu, Qu Yuan yang tersinggung perasaannya itu telah memulakan percubaan untuk menghasilkan karya sastera. "Li Sao" ialah hasil karya beliau yang paling terkenal.

Syair ini kaya dengan imaginasi yang romantik dan perasaan yang mendalam. Penulisannya memang bergaya dan mempesonakan. Ia juga menjadi bahan rujukan yang paling penting untuk mengetahui fikiran dan pengalaman Qu Yuan.

"Li Sao" menceritakan tentang keluarga, pengalaman dan cita-cita penyair ini sendiri. Melalui karya puisi ini, kita dapat merasakan pertarungan sengit antara mereka yang jujur dengan yang jahat dalam golongan pemerintah Negeri Chu, kekotoran politik dan semangat penyair yang terus berjuang untuk kepentingan rakyat.

Syair ini bermula dengan cerita keluarga, peribadi, tingkah laku dan cita-cita penyair. Qu Yuan juga menulis tentang usaha yang dilakukannya untuk membantu raja Negeri Chu menjalankan pembaharuan serta pengalamannya ketika dibuang negeri kerana difitnah. Kita juga dapat merasai semangatnya yang kukuh yang tidak ingin berganjak, dan perasaannya yang pernah tidak menyesali keputusannya.

Bahagian tengah syair ini menyediakan kesimpulan tentang pengalaman dan pengajaran dari zaman kemakmuran hingga kejatuhan setiap dinasti dalam sejarah China. Melalui karyanya, Qu Yuan telah menerangkan pendirian politiknya dan menunjukkan semangatnya yang kukuh untuk mengejar cita-citanya.

"Li Sao" berakhir dengan soalan penyair yang tidak dapat dijawab. Kita dapat merasai perasaan penyair yang berada dalam buangan, rindu akan kampung halaman, bimbang dan susah hati sehingga sanggup membuat keputusan untuk membunuh diri kerana putus asa pada akhirnya.

Qu Yuan diiktiraf sebagai pengasas syair romantisisme di China. Lahirnya "Li Sao" membuka lembaran baru bagi penciptaan seni puisi negara ini dan juga menjadi peristiwa yang penting dalam sejarah sastera China.

----Puspa

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China