Cari:
Lagu-lagu Sambutan Tahun Baru China dan Capgome
2009-02-12 12:44:38 CRI Cetak

Walaupun Tahun Baru China telah berlalu, tetapi mengikut tradisi rakyat China, selepas Pesta Capgome pada 15 bulan pertama kalendar China, barulah tempoh perayaan Tahun Baru China berakhir. Esok ialah hari Pesta Capgome. Jadi, untuk memeriahkan suasana pesta ini yang terakhir, saya akan menghidangkan beberapa buah lagu rakyat yang menceritakan adat resam orang China ketika menyambut Tahun Baru China supaya para pendengar dapat menikmati sekali lagi suasana yang meriah sempena Tahun Baru China ini.

Sebagai hidangan pertama, silalah nikmati lagu rakyat Shaanxi yang berjudul "Menggantung Tanglung". Lagu ini dengan irama yang rancak menceritakan bahawa setiap keluarga di desa, di bahagian utara China akan menggantung tanglung yang merah di depan pintu rumah mereka sempena Tahun Baru China. Lirik lagu ini berbunyi, antara lain, "merayakan Tahun Baru China dalam bulan pertama kalendar China, tanglung yang dibuat daripada kertas digantung di depan pintu. Tanglung berayun, abang dan aku bersama-sama merayakan Tahun Baru China."

Tahun Baru China juga selalu disebut "Guo Nian" dalam bahasa Mandarin. Dalam pesta yang paling meriah dan gembira di China ini, mengucapkan "Selamat Tahun Baru China" kepada orang lain merupakan amalan yang amat penting. Ia juga merupakan cara saling menyampaikan salam dan harapan baik antara satu sama lain dalam masyarakat China. Pada pagi hari pertama Tahun Baru China, golongan muda perlu mengucapkan Selamat Tahun Baru China kepada orang tua terlebih dahulu dan mendoakan semoga mereka sihat dan bahagia selalu. Jika bertemu dengan teman-teman di luar juga, mereka akan saling mengucapkan "Selamat Tahun Baru China" atau "Gong Xi Fa Cai". Seterusnya, saya akan menghidangkan lagu yang berjudul "Selamat Tahun Baru China" yang menceritakan perasaan dan adat resam pada hari tersebut. Lagu rakyat ini amat popular di kawasan timur laut China.

Hari ke-15 bulan pertama kalendar China ialah Pesta Capgome, satu lagi pesta tradisional China. Pada malam Pesta Capgome, bulan akan menjadi penuh buat kali pertamanya bagi Tahun Baru China. Bulan yang penuh mempunyai erti yang istimewa bagi orang China. Ia menandakan penyatuan semula keluarga dan kebahagiaan hidup mereka. Makanan yang mesti dimakan bagi merayakan pesta ini ialah sejenis kuih seperti onde-onde, dalam bahasa Mandarinnya "yuan xiao". Berikutnya, marilah kita bersama-sama menikmati lagu rakyat Shanxi yang berjudul "Perayaan Pesta Capgome". Lirik lagu ini berbunyi, antara lain, "sempena pesta Capgome, suasana bandar Taiyuan sangat meriah. Kelihatan tanglung dinyalakan, pasukan Yangge menari dengan gembira. Semua orang riang gembira dan bahagia."

Selain makan "onde-onde", pelbagai aktiviti turut diadakan untuk merayakan Pesta Capgome, termasuk menonton pameran tanglung, menari tarian singa, tarian naga, tarian perahu, menari Yangge dan lain-lain. Aktiviti kesenian kalangan rakyat tersebut amat disukai orang China. Seterusnya, saya akan menghidangkan lagu rakyat Shanxi yang berjudul "Menonton Tarian Yangge". Lagu ini menceritakan kisah seorang gadis dan adik perempuannya, dengan memakai pakaian yang cantik bersama-sama menonton persembahan tarian Yangge. Selamat menikmatinya.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama menikmati lagu rakyat utara Shaanxi yang berjudul "Tarian Perahu". Tarian perahu adalah sejenis tarian yang menggunakan alat yang berbentuk perahu dan dipersembahkan sambil menyanyi. Pada setiap pesta tradisional China, penduduk di kawasan-kawasan bahagian utara Shaanxi akan mengadakan persembahan ini. Iramanya rancak dan lucu, menggambarkan betapa gembiranya para penduduk Shaanxi.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China