Ouyang Xiu telah lulus dalam ujian peringkat provinsi ketika berumur 23 tahun, dan setelah sekian lama, beliau mencapai kejayaan dalam mempopularkan penulisan karangan dalam bahasa purba. Beliau mengetepikan cara mengarang yang hanya mengumpulkan kata-kata yang indah, sehingga sukar difaham oleh pembaca dan menganjurkan kempen pembaharuan terhadap penulisan puisi dan kepengarangan pada zaman Song Utara.
Kempen pembaharuan yang dilancarkan terhadap bidang kesusasteraan pada zaman Dinasti Tang dan Song mengutamakan usaha membangkitkan semula ajaran Konfusius, menentang dan membuang cara mengarang yang rumit dan yang hanya menimbun kata-kata yang indah, tanpa erti yang kreatif. Kempen tersebut menganjurkan karangan yang ditulis dalam bahasa purba, seperti prosa yang agak terkenal yang muncul pada awal Dinasti Qin dan Han. Keistimewaan karangannya adalah ringkas, caranya bebas dan agak mudah untuk mencerminkan masalah hidup rakyat di samping membawa pemikiran yang mendalam.
Ouyang Xiu giat mempopularkan karangan dalam bahasa purba dan mendorong cara mengarang itu untuk berkembang di arena pengkaryaan semasa. Usaha beliau amat mempengaruhi cara mengarang pada zaman-zaman berikutnya. Karya-karya yang dihasilkan oleh Ouyang Xiu meliputi pemikiran yang mendalam lagi menyeluruh. Caranya berkarya juga beraneka ragam, kata-katanya halus lagi teliti, penerangannya jelas lagi lancar dan perasaannya sebagai penulis ditunjukkan secara lembut. Karya-karyanya diiktiraf menduduki tempat penting dalam sejarah kesusasteraan China.
Ouyang Xiu sentiasa mengambil hati rakyat dan kepentingan negara sehingga ucapannya yang telus sering menimbulkan kemarahan raja atau pegawai atasannya. Dalam bidang politik, Ouyang Xiu pernah menyandang jawatan dalam kerajaan tempatan dan kerajaan pusat. Beliau beberapa kali diturunkan pangkat kerana berani bercakap benar, tetapi selalu dinaikkan pangkat, kemudiannya kerana cadangannya dapat diterima oleh raja.