Dengan air sungai yang jernih, gunung-ganang yang beraneka bentuk, yang bersambungan tersergam megah, serta pepohon yang merimbun di kiri kanan tebingnya, maka tidak hairanlah ia digelar "gunung yang paling indah di tenggara China".
Sungai Jiuqu yang mengalir di kaki Gunung Wuyi, merupakan pemandangan yang paling unik di sini. "Jiu" bermakna sembilan, dan "Qu" pula bermakna ceruk dalam bahasa China. Sungai ini mendapat nama "Jiuqu" kerana terdapat 9 buah ceruk di sepanjang sungai yang mengelilingi kawasan pergunungan ini. Air sungai ini mengalir dari barat ke timur, dan pemandangan di setiap ceruk mempunyai keunikan yang tersendiri.
Menempuh Arus Deras di Gunung Wuyi
Kawasan Perlindungan Alam Gunung Wuyi merupakan ekosistem hutan subtropika yang paling luas, dan dipulihara dengan paling utuh di kawasan tenggara China. Dengan sumber flora dan fauna yang pelbagai, bukit-bukau yang tersergam indah, hutan purba yang luas, serta pemandangan alam semula jadi yang indah permai, ia disenaraikan oleh UNESCO sebagai "Warisan Alam dan Kebudayaan Dunia" pada tahun 1999.