Cari:
Lu You, Penyajak yang Terkenal dengan Semangat Patriotik dan Kasih Cinta
2009-04-01 16:19:57 CRI Cetak

Lu You yang hidup pada zaman Dinasti Song Selatan, iaitu kira-kira 800 tahun yang lalu, diiktiraf sebagai penyajak yang menghasilkan karya yang paling banyak dalam sejarah China. Beliau mengaku sendiri bahawa "sudah menghasilkan sepuluh ribu puisi dalam tempoh 60 tahun". Pada masa sekarang, terdapat lebih 9,300 puisi yang dihasilkannya terakam di China.

Lu You terkenal dengan karyanya yang penuh dengan semangat patriotik dan kisah cintanya yang romantik yang berakhir dengan keresahan dan kegagalan.

Lu You dilahirkan dalam satu keluarga pegawai kerajaan. Bukan sahaja nenek moyangnya pernah menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan terdahulu, malah bapa saudaranya dan saudara kepada bapanya juga dilantik sebagai pegawai kanan ketika itu. Kekayaan keluarganya membolehkan Lu You mengikuti pendidikan yang baik sejak kecil.

Pada zaman Dinasti Song Selatan yang penuh gelora, perang saudara yang berlarutan sering berlaku di China. Lu You yang berumur 3 tahun ketika itu terpaksa mengikut ayahnya mengembara.

Sejak kecil lagi, Lu You sudah menunjukkan minatnya terhadap buku. Setelah bersekolah, beliau mulai belajar daripada gurunya untuk menghasilkan puisi dan karangan. Kerana cepat mencapai kemajuan, Lu You ketika berumur 12 tahun sudah berjaya menghasilkan puisi yang bertaraf tinggi.

Semangat patriotik yang dipunyai Lu You berpunca daripada anggota keluarganya yang amat mencintai tanah air dan sering memikirkan kepentingan rakyat. Dalam karya-karyanya, Lu You sering menyatakan cita-citanya untuk menundukkan penceroboh dan menakluk semula wilayah yang diduduki oleh musuh. Untuk merealisasikan cita-citanya, selain menghasilkan puisi, Lu You menumpukan perhatian kepada buku taktik perang dan mengikuti latihan silat pedang untuk bersiap sedia jika dikerah ke medan perang pada bila-bila masa.

Dalam kebanyakan karyanya, Lu You menyuarakan keazaman dan keberaniannya bagi menumpaskan musuh, rasa bencinya terhadap pengkhianat negara dan semangat patriotiknya yang meluap-luap. Kata-kata yang dipilihnya bergaya keras dan penuh dengan keresahan. Bagaimanapun, kerajaan Song Selatan ketika itu lemah dan kurang bijak hingga menjadikan Lu You gagal merealisasikan cita-citanya.

Pada saat sebelum meninggal dunia, Lu You yang tetap memikirkan usaha untuk menyatukan tanah air, telah menulis puisi terakhirnya yang berbunyi "Anakku, jangan lupa memberitahuku, ketika berdoa di kuburku apabila tanah air kita disatukan semula." Puisi ini menggambarkan rasa hati seorang karyawan yang bersemangat gigih untuk berjuang dengan musuh dan menakluk kembali wilayah yang diduduki mereka, tetapi mengalami kegagalan hingga meninggal dunia dengan rasa resah dan kecewaan yang besar.

Puisi Lu You yang penuh dengan semangat patriotik amat mempengaruhi rakyat China dan sering digunakan sebagai rangsangan dan motivasi untuk menggalakkan rakyat menentang penceroboh dari luar apabila negara ini menghadapi serangan tentera asing hingga berada dalam situasi yang berbahaya.

Selain itu, Lu You mempunyai kisah cinta yang juga penuh dengan kedukaan dan keresahan. Ketika berumur 20 tahun, beliau bertemu jodoh dengan Tang Wan, kekasihnya yang sudah dikenali sejak kecil. Namun, ibunya menentang perjodohan tersebut dan secara paksa memisahkan mereka. Beberapa tahun kemudian, pasangan yang dipisahkan ini berjumpa di suatu taman secara kebetulan. Lu You terus menulis sebuah puisi di atas tembok di taman itu untuk menyatakan rasa rindunya kerana berpisah dengan Tang Wan dalam keadaan penu sedih dan duka. Setelah membaca puisi tersebut, Tang wan juga menulis sebuah puisi yang hampir sama dengan puisi Lu You untuk menyatakan rasa rindunya terhadap bekas suaminya. Tidak lama selepas itu, Tang Wan pun meninggal dunia dalam kedukaan dan keresahan yang amat sangat.

Kedua-dua puisi yang ditulis di atas tembok taman itu menggambarkan kisah cinta yang penuh duka antara Lu You dengan Tang Wan.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China