Guan Hanqing, karyawan drama yang unggul yang terakam dalam catatan sejarah China, hidup pada zaman Dinasti Yuan, iaitu kira-kira 700 tahun yang lalu, 300 tahun lebih awal dari zaman Shakespear.
Zaman Dinasti Yuan terkenal dengan Lagu Yuan yang diiktiraf sebagai sejenis kesusasteraan klasik pada zaman purba China. Lagu Yuan merupakan tradisi kalangan rakyat dan berkembang berdasarkan gabungan puisi tradisional, lagu rakyat dengan dialek tempatan. Perkembangannya agak maju pada ketika itu, hingga terbentuk gaya sastera yang sinis, humor dan cerita yang bersifat terus-terang. Gaya drama seumpama Lagu Yuan sebenarnya berasal dari zaman Dinasti Tang, iaitu kira-kira 1,400 tahun yang lalu. Cuma kandungan drama yang diceritakan pada zaman itu masih kurang banyak. Lagu Yuan sememangnya berkembang secara berterusan dan menyeluruh, lalu mencapai puncaknya setelah masuk ke zaman Dinasti Yuan.
Dengan demikian, Lagu Yuan, Pantun Tang dan Sajak Song diiktiraf sebagai tiga kategori utama dalam bidang kesusasteraan China pada zaman purba. Perkembangan Lagu Yuan amat berkait dengan kemakmuran Dinasti Yuan dan pelaksanaan sistem pemeringkat masyarakat pada abad ke-13. Sebelum zaman Dinasti Yuan, golongan intelek biasanya diberi kedudukan yang agak tinggi dalam masyarakat kerana dapat menjadi pegawai kerajaan selepas lulus ujian pelantikan pegawai di pelbagai peringkat. Namun setelah masuk ke zaman Dinasti Yuan, pihak berkuasanya telah memansuhkan sistem ujian pelantikan pegawai. Akibatnya, golongan intelek dikategorikan pada kedudukan masyarakat ke-9, iaitu yang paling rendah, lebih rendah daripada golongan pelayan wanita. Jadi, untuk mencari rezeki, ramai intelek terpaksa bergaul dengan seniman bidang drama yang sama kedudukannya dengan mereka. Penyertaan golongan intelek, termasuklah Guan Hanqing, dalam usaha pengkaryaan skrip drama amat membantu meningkatkan taraf seni Lagu Yuan.
Guan Hanqing dilahirkan dan dibesarkan di bandar Dadu, ibu kota Dinasti Yuan (Beijing sekarang). Walaupun pernah bertugas di Hospital Diraja, Guan Hanqing menunjukkan minat yang lebih besar terhadap pengkaryaan skrip drama daripada pengubatan.
Zaman Dinasti Yuan penuh dengan gelora dan China dilanda gejala rasuah ketika itu. Tambahan pula kerajaan Yuan lemah. Jumlah kes yang keputusan perbicaraannya salah sukar dikira sehingga menyebabkan rakyat hidup dalam kesiksaan dan teraniaya. Guan Hanqing amat prihatin terhadap kehidupan rakyat, lalu membuat kajian terhadap masalah sosial ketika itu. Beliau meletakkan jawatannya kerana berasa kecewa dengan kerajaan Yuan dan memutuskan untuk menghasilkan drama bagi mendedahkan keadaan masyarakat yang buruk itu. Hasratnya, akhirnya, dapat direalisasikan dan beliau juga diktiraf sebagai ahli drama profesional yang tersohor.
Guan Hanqing bukan sahaja terkenal kerana humornya dan pengetahuannya yang luas, tetapi juga terkenal kerana bersikap adil serta simpati. Karya-karya ciptaan Guan Hanqing bukan sahaja betul-betul mencerminkan keadaan masyarakat ketika itu, tetapi juga mengandungi semangat perjuangan yang meluap-luap. Beliau menyatakan keazamannya untuk menentang pihak berkuasa dalam sebuah lagu yang berbunyi, "Aku, seumpama sebiji kacang tembaga yang tidak rosak walaudiwap, tidak lembut walau di rebus, tidak pecah walau dipukul dan tidak hancur walau digoreng".
Selain itu, Guan Hanqing juga menguasai pelbagai kemahiran seperti membaca puisi, bermain Xiao dan Qin (dua jenis alat muzik tradisional China), menari, bermain catur dan berburu. Beliau sering bertugas sebagai pengarah drama dan menyertai persembahan sebagai pelakon.
Dalam tempoh pengkaryaannya selama puluhan tahun, Guan Hanqing menghasilkan drama sebanyak lebih 60 jenis, dan 18 daripadanya masih terakam sehingga kini. Beliau diiktiraf sebagai sasterawan bidang drama yang paling gemilang pada zaman Dinasti Yuan, ditinjau dari baik segi kuantiti, mahupun kualiti.
Karya-kayra Guan Hanqing telah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman dan Jepun dan disebarkan di seluruh dunia. Maka, itulah sebabnya Guan Hanqing mendapat gelaran "Shakespear Oriental".
----DAZHONG