Sima Xiangru dilahirkan di bandar Chengdu, Provinsi Sichuan pada tahun 179 sebelum Masehi, iaitu tahun pertama Raja Wen memerintah pada zaman Dinasti Han.
Sejak zaman purba, Bandar Chengdu terkenal dengan penduduknya yang berminat pada kesusasteraan. Sima Xiangru juga tidak terkecuali. Walaupun keluarganya miskin, beliau amat berminat terhadap buku dan rajin belajar untuk mendapatkan pengetahuan sejak kecil lagi. Manakala ibu bapanya yang amat menyayangi Sima Xiangru berjimat cermat dalam berbelanja untuk membiayai yuran persekolahannya.
Ketika di sekolah rendah, Sima Xiangru telah menunjukkan minat yang besar terhadap perkataan dan bersedia menjelaskan asal-usul perkataan dalam bahasa Mandarin dari segi sumber, perkembangan, nada dan maksudnya kepada kawan-kawannya. Dengan demikian, Sima Xiangru dapat menguasai dengan baik kemahiran menggunakan kata-kata.
Selain itu, Sima Xiangru juga belajar silat pedang daripada gurunya. Pada setiap subuh, beliau selalu beriadah dengan berlatih silat pedang di halaman rumahnya sebelum membaca buku dan melakukan latihan kaligarfi. Ibu bapanya menyifatkan anak mereka seperti "anak anjing" kerana kepantasannya bergerak dan beraksi.
Dalam tempoh pemerintahan Raja Wen dan Raja Jing pada zaman Dinasti Han, Gabenor Provinsi Sichuan, Wen Weng mempergiat usaha untuk mengembangkan pendidikan. Pada masa itu, Provinsi Sichuan agak mundur ekonominya dan kekurangan sekolah. Wen Weng memilih lebih sepuluh orang remaja dan menghantar mereka ke ibu kota ketika itu, iaitu Chang'an untuk melanjutkan pengajian ajaran Konfusius. Sima Xiangru adalah antara yang terpilih.
Setelah dewasa, Sima Xiangru menjadi pemuda yang tampan, berpengetahuan dan berkemampuan menghasilkan karangan yang hebat. Nama asal beliau ialah Sima Changqing. Kerana menghormati bekas Perdana Menteri Negeri Zhao pada Zaman Negeri-negeri Berperang sebelum itu, iaitu Lin Xiangru, yang terkenal dengan kecerdasan dan keberaniannya, beliau mengubah namanya menjadi Siama Xiangru.
Setelah tamat daripada kursus pengajian ajaran Konfusius di Bandar Chang'an, Sima Xiangru tidak pulang ke Chengdu. Atas nasihat dan sokongan temannya, beliau dilantik sebagai pelayan berkuda kepada Raja Jing. Tetapi, Raja Jing tidak berminat pada kesusasteraan dan seni mengarang. Sima Xiangru yang berbakat dalam bidang tersebut berasa sedikit kecewa oleh sebab kebolehannya tidak dihargai.
Tidak lama kemudian, Putera Liang yang merintah Sima Xiangru mengikutnya ke kawasan hutan Dongyuan untuk berburu. Dongyuan merupakan kawasan hutan luasnya lebih 75 kilometer persegi dengan tumbuhan-tumbuhan yang subur menghijau dan hidupan yang banyak. Pasukan berkuda yang diketuai oleh Putera Liang asyik berburu dengan memanah. Mereka juga menggunakan helang dan anjing untuk membantu menangkap buruan. Banyak arnab, rusa dan burung menjadi korban dalam suara mereka yang riuh bersorak diiringi pukulan gendang.
Melihat hasil buruan yang bertimbun-timbun dan rumput yang dilimpahi darah, Sima Xiangru merasa takjub dan terkagum. Beliau terus menghasilkan sajak yang bertajuk "Zixufu" untuk menggambarkan keadaan pemburuan yang dilakukan oleh pasukan kedua-dua negeri Qi dan Chu dan pemandangan kawasan hutan Dongyuan yang megah itu. Sajak tersebut dikisahkannya melalui Encik Zixu dari negeri Chu dan Encik Wuyou dari negeri Qi yang memuji antara satu sama lain. Sima Xiangru berjaya memaparkan daya bayangannya yang luar biasa dalam sajak itu dengan menggunakan kata-kata yang indah.
----DAZHONG