Setelah menghasilkan sebuah sajak yang bertajuk "Zixufu", Sima Xiangru menyerahkannya kepada Putera Liang. Beliau begitu kagum membaca sajak yang dipenuhi kata-kata yang indah itu lalu memerintahkan para pengiringnya untuk menyalin dan membaca sajak tersebut. Dengan demikian, Sima Xiangru terus menjadi terkenal.
Dengan penghargaan daripada Putera Liang itu, Sima Xiangru juga mendapat layanan yang istimewa dan kehidupan yang selesa. Cuma masanya tidak lama, kerana Putera Liang meninggal dunia pada tahun 144 sebelum Masehi. Sima Xiangru terpaksa pulang ke kampung halamannya di Bandar Chengdu. Pada ketika itu, ibu bapanya juga telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan apa-apa harta. Kehidupannya menjadi begitu susah. Sima Xiangru yang menghadapi masalah makan minum ketika itu terpaksa meminta bantuan daripada seorang kawannya, iaitu Wang Ji, yang bertugas sebagai ketua Kaunti Linqiong. Kemudian, Sima Xiangru diberi tempat tinggal di sebuah pavilion yang terletak di pinggir tembok kota.
Di Kaunti Linqiong, terdapat ramai orang kaya. Zhuo Wangsun dan Cheng Zheng adalah antara yang paling terkenal. Setelah mengetahui bahawa ketua kaunti mereka dikunjungi tamu, mereka memutuskan untuk mengadagkan jamuan untuk Wang Ji dan Sima Xiangru. Jamuan itu diselenggarakan oleh Zhuo Wangsun di rumahnya. Pada hari itu, Zhuo Wangsun sebagai tuan rumah telah menghias tempat jamuan itu dengan cantik. Tenglong merah juga dipasang seperti hari raya.
Jamuan yang akan diadakan itu cukup mewah dengan lauk pauk yang bermacam-macam. Hampir semua orang kaya dan tokoh ternama di Kaunti Linqiong termasuklah ketua kaunti, Wang Ji, mendapat undangan untuk menghadiri jamuan menyambut ketibaan Sima Xiangru itu. Pada hari tersebut, Wang Ji sampai awal di tempat jamuan itu. Dia tidak nampak tetamu utama, iaitu Sima Xiangru di situ. Tuan rumah, Zhuo Wangsun terus menghantar utusannya ke kediaman Sima Xiangru untuk menjemputnya menghadiri jamuan itu. Tetapi, Sima Xiangru menolak undangan itu dengan alasan beliau tidak sihat. Namun setelah tiga kali utusan dihantar oleh keluarga Zhuo itu mengunjungi rumah Sima Xiangru, barulah Sima Xiangru bersetuju menerima undangan itu dan berjanji menghadiri jamuan tersebut.
Pada saat Sima Xiangru dan Wang Ji muncul di ruangan utama dan mengucap selamat dan memohon maaf kepada semua tetamu kerana datang lambat, mereka kagum melihat Sima Xiangru yang tampan dan bergaya itu.
Ketika para jemputan sudah selesai makan, Wang Ji menyerahkan sebuah Qinse (sejenis alat muzik tradisonal China) kepada Sima Xiangru dan mengajak beliau mempersembahkan sebuah lagu. Selepas pura-pura menolak permintaan itu, Sima Xiangru bersetuju untuk memainkan sebuah lagu yang bertajuk "Mengejar Cinta". Permainannya hebat sekali sehingga mempersonakan semua jemputan pada ketika itu. Mereka memberikan tepukan yang gemuruh kerana persembahan muzik yang begitu enak dan kemahiran pemainnya yang luar biasa.
Sebelum itu, Sima Xiangru pernah mendengar cerita tentang Zhuo Wenjun, anak perempuan kepada tuan rumah jamuan itu, Zhuo Wangsun. Menurut ceritanya, wanita itu cantik dan berbakat besar dalam bidang seni serta sastera. Suaminya sudah meninggal dunia dan kini Zhuo Wenjun tinggal di rumah ibubapanya. Sima Xiangru menyimpan hasrat untuk memperisterikan Zhuo Wenjun, dan akhirnya kedua-dua mereka berhijrah ke Chengdu.
DAZHONG............