Cari:
SimaXiangru:Penyajak yang Berbakat Besar (3)
2009-04-29 09:07:51 CRI Cetak

Sima Xiangru membawa Zhuo Wenjun pulang ke rumahnya di Bandar Chengdu. Apabila masuk ke rumah, barulah disedari mereka harta milik keluarganya sudah hilang semuanya dan rumahnya juga sudah hampir musnah. Pasangan Sima Xiangru mula merasa hidup susah tanpa tempat tinggal dan mata pencarian untuk makan minum malah tanpa saudara mara dan kawan lagi di bandar itu.

Dengan demikian, mereka memutuskan untuk kembali ke Kaunti Linqiong dan meminta tolong daripada saudara Zhuo Wenjun. Selepas mendapat bantuan kewangan daripada saudaranya, Zhuo Wenjun dan suaminya pun membeli sebuah kedai arak dan mulai menjual arak.

Sima Xiangru memikul tugas mengatur segala urusan, manakala Zhuo Wenjun bertugas sebagai penjual arak di kedai mereka. Pasangan itu bekerjasama dengan baik sehingga menjadikan perniagaan mereka semakin laris. Dengan demikian, mereka dapat kembali hidup seperti biasa.

Pada mulanya, Zhuo Wangsun, iaitu ayah kepada Zhuo Wenjun amat marah kepada anak perempuannya yang lari dengan kekasihnya itu kerana perbuatan itersebut  memalukan keluarganya. Beliau tidak mahu memberi apa-apa bantuan kewangan atau harta kepada pasangan yang baru memulakan hidup baru itu. Tambahan pula, anaknya dan pasangannya Sima Xiangru mencari rezeki dengan menjual arak, yang dilihatnya sebagai kerja yang rendah kedudukannya.

Zhuo Wangsun tidak ke luar dari rumahnya selama beberapa bulan disebabkan berasa malu menghadapi kawan-kawannya. Beliau kadang-kadang dipujuk oleh teman atau saudara maranya dengan mengatakan bahawa beliau tidak patut keras hati dan memaafkan pasangan baru itu, kerana walaupun miskin ketika itu, tetapi Sima Xiangru ini berbakat besar dalam bidang sastera dan juga menjadi sahabat ketua kaunti. Menantunya itu tidak patut dipandang rendah dan beliau bekemungkinan besar mempunyai masa depan yang cerah.

Selepas lama mempertimbangkan hal itu, Zhuo Wangsun pun memutuskan untuk menerima menantunya dan memberi pasangan baru itu lebih seratus orang pelayan dan harta yang berjumlah besar. Selepas itu, Sima Xiangru dan Zhuo Wenjun pulang ke bandar Chengdu dan membeli rumah yang baru untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Beberapa tahun kemudian, Raja Jing mengkat dan terus digantikan oleh Raja Wu yang menggemari sajak dan puisi. Setelah naik takhta, Raja Wu memanggil sekumpulan penyajak yang terkenal untuk bertugas dalam kerajaannya. Pada suatu ketika, ketika membaca "Sajak Zixu", Raja Wu kagum dengan keindahan kata-katanya dan memuji-muji sajak tersebut. Pada sangkaan baginda,  karyawan yang menghasilkan "Sajak Zixu" itu sudah meninggal dunia lalu baginda mengeluh: "Sayanglah, saya tidak dapat hidup sezaman dengan karyawan itu."

Seorang pelayan raja yang bertugas menjaga anjing apabila raja berburu, Yang Deyi menjawab dengan segera bahawa karyawan yang menghasilkan "Sajak Zixu" adalah Sima Xiangru, teman sekampung halaman dengannya. Raja Wu berasa gembira mendengar berita itu, lalu terus memerintahkan pelayannya memanggil Sima Xiangru masuk ke istana.

Setelah tiba di Chang'an, ibu negara China ketika itu dan diatur menghadap raja, Sima Xiangru pun menunjukkan bakatnya yang hebat dalam bidang seni dan sastera apabila berbual-bual dengan Raja Wu. Kata beliau: "Hamba memang pernah menghasilkan sebuah sajak yang menggambarkan keadaan putera-putera raja ketika berburu. Sajak itu biasa sahaja pada pandangan hamba. Sekarang hamba memohon izin tuanku untuk menghasilkan sebuah sajak lagi untuk menggambarkan ketangkasan raja berburu. Permintaannya itu segera dipersetujui oleh Raja Wu.

Tidak lama selepas itu, Sima Xiangru menghasilkan "Sajak Shanglin" yang lebih hebat daripada "Sajak Zixu".

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China