Raja Wu menganggap pendapat Sima Xiangru amat tepat, lalu melantik beliau sebagai Jeneral Zhonglang merangkap utusan khas untuk melaksanakan tinjauan ke kawasan bahagian barat daya. Antara pepmbantu utusan khas yang mengiringi Sima Xiangru untuk menjalankan tugas tersebut termasuklah Wang Ranyu, Hu Chongguo dan Wu Yueren. Mereka menaiki kereta yang ditarik oleh empat ekor kuda dengan membawa bermacam ragam harta dan cendermata seperti emas dan kain sutera.
Ketika rombongan yang diketuai oleh Sima Xiangru itu menghampiri provinsi Sichuan, gabenor provinsi itu pergi ke kawasan sempadan untuk menyambut ketibaan mereka. Pada masa yang sama, ketua- ketua kaunti pula diberi tugas untuk mengawal jalan dengan memikul senjata, manakala tokoh-tokoh tempatan seperti Zhuo Wangsun sibuk menumbangkan lembu dan mengedarkan arak kepada anggota rombongan utusan khas raja itu untuk mengeratkan hubungan peribadinya dengan pegawai-pegawai yang dihantar oleh raja itu.
Penghulu dari beberapa puak seperti Qiong, Si dan Yu membuat permohonan kepada Sima Xiangru, menyatakan hasrat mereka untuk bernaung di bawah pemerintahan raja Dinasti Han ketika itu. Setelah membaca surat permohonan mereka, Sima Xiangru bersetuju menerima permohonan tersebut, lalu memutuskan untuk membatalkan sempadan yang sedia ada, dan memperluas wilayah jajahan Dinasti Han. Beliau terus menetapkan Sungai Moshui dan Ruoshui sebagai sempadan sebelah barat China, dan membina Jalan Lingguan serta sebuah jambatan merentas Sungai Sunshui untuk menyambungkan jalan yang menuju ke ibu kota kawasan Qiong. Sima Xiangru juga menubuhkan lebih 10 kaunti di kawasan Qiong yang ditadbirkan oleh pegawai yang dikenali sebagai "Douwei" yang diletakkan di bawah pemerintahan gabenor Provinsi Sichuan.
Semua urusan tersebut dilaksanakannya dengan sempurna dan dilaporkan kepada Raja Wu. Baginda amat puas hati dengan sumbangan yang diberikan oleh Sima Xiangru itu.
Bagaimanapun, setelah menamatkan tugasnya di Provinsi Sichuan dan kembali ke bandar Chang'an, Sima Xiangru telah difitnah oleh pegawai yang telah lama bermusuhan dengannya. Beliau dikatakan menerima rasuah semasa bertugas di Sichuan. Maka beliau dicurigai oleh baginda dan segera dipecat.
Walau bagaimanapun, Raja Wu sememangnya amat menghargai Sima Xiangru yang berbakat besar dalam bidang sastera itu dan baginda telah mengembalikan jawatannya sebagai pegawai pelayan raja tidak lama kemudian. Sementara itu, Sima Xiangru pula tidak begitu berminat kepada pangkat yang tinggi disebabkan sifatnya yang suka hidup bebas. Walaupun beberapa kali baginda menawarkan untuk menaikkan pangkatnya, Sima Xiangru tetap menolak tawaran baginda itu dengan alasan kurang sihat. Sebenarnya Sima Xiangru sudah mengetahui bahawa beliau tidak sesuai dengan arena politik melalui pengalamannya, iaitu apabila namanya diburukkan oleh rakan sekerjanya dengan tohmahan yang bukan-bukan.
Dengan demikian, baginda tidak dapat memaksa Sima Xiangru untuk memegang jawatan kerajaan lagi. Baginda hanya membawanya untuk menemani baginda ketika berjalan-jalan dan memintanya menghasilkan sajak apabila baginda berburu.
Menurut pendapat Sima Xiangru, menghasilkan sajak, seseorang itu perlu menggunakan kata-kata yang indah berdasarkan latar belakang yang melibatkan lingkungan yang luas. Sajak yang bermutu patut diakhiri dengan pemikiran yang bersifat memujuk atau sinis.
Apa yang disebut "sajak yang bersifat sinis" yang dianjurkan oleh Sima Xiangru ini, dikritik oleh Yang Xiong, seorang lagi penyajak yang terkenal dalam sejarah purba China, sebagai hanya bertujuan untuk menyatakan kesetiaan karyawan terhadap raja, kerajaan dan tanah air. Kata-kata yang sinis dalam sajak yang dihasilkan oleh Sima Xiangru hanya sedikit , iaitu kira-kira 1% sahaja berbanding dengan kata-kata yang indah dalam seluruh sajak itu.
----DAZHONG