"Sajak Shanglin" menggambarkan keadaan pada zaman Raja Dinasti Han yang berburu di hutan Shanglin. Sajak itu terutamanya menyatakan rasa kagum terhadap kemakmuran dan kekuatan zaman Dinasti Han yang baru mula membangun ketika itu, menggembar-gemburkan kehidupan yang mewah dan kaya-kaya yang dinikmati oleh raja Dinasti Han; dan pada bahagian akhirnya dengan kata-kata yang sinis, cuba memujuk baginda supaya jangan terlalu membazir walaupun sudah memiliki kekayaan yang berkoyan-koyan.
"Sajak Shanglin" dikarang dengan begitu indah dan kata-kata yang digunakan di dalamnya cukup "hidup". Raja Wu memberikan penghargaan yang tinggi kepada Sima Xiangru selepas membaca sajak itu dan segera melantiknya sebagai pegawai "Langguan", iaitu pegawai pelayan raja di istana.
Setelah bertugas sebagai pegawai pelayan raja selama beberapa tahun, Sima Xiangru dihantar oleh Raja Wu ke bahagian barat daya untuk menangani sebuah peristiwa kecemasan.
Pada masa itu, iaitu kira-kira tahun 130 sebelum Masehi, seorang pegawai yang dikenali sebagai Tang Meng mendapat perintah untuk menerima Negeri Yelang (bahagian barat Provinsi Guizhou sekarang) sebagai sebahagian wilayah Dinasti Han. Beliau mengerah ramai askar dari Provinsi Ba dan Shu untuk membina jalan yang menyambungkan Dao dengan Jiang. Para pembina jalan tersebut mengalami kesulitan besar ketika melaksanakan projek yang skopnya amat luas itu, sehingga ramai askar yang terkorban akibat kepenatan atau kelaparan. Selain itu, sebilangan askar juga telah melarikan diri kerana bimbang pada kerja-kerja yang amat berat itu.
Tang Meng melaksanakan apa yang disebut 'Undang-undang Pembangkitan Tentera" dan dengan kejam membunuh pegawai-pegawai yang didapati ada askar dari pasukannya melarikan diri. Tindakan yang kejam itu amat menakutkan rakyat dan mereka turut menjadi panik.
Setelah diberitahu hal itu, Raja Wu segera menugaskan Sima Xiangru sebagai utusan khas ke Provinsi Sichuan untuk menangani peristiwa itu.
Setelah tiba di tempat kejadian itu, Sima Xiangru mengkritik Tang Meng yang bertindak ganas itu, dan memintanya supaya menghentikan perbuatan yang kejam itu. Beliau menulis sebuah karangan untuk menerangkan kepada penduduk tempatan bahawa tindakan Tang Meng itu tidak melambangkan keputusan kerajaan Han. Dengan itu, kemarahan rakyat dapat diredakan. Pada masa yang sama, karangan yang ditulis oleh Sima Xiangru yang bertajuk "Yu Ba Shu Xi" itu juga mengarahkan rakyat tempatan supaya berbakti kepada kerajaan Han ketika itu.
Selain itu, berkait dengan kecenderungan yang ditunjukkan oleh penghulu puak tempatan yang menentang pelaksanaan dasar kerajaan dalam mengeratkan hubungan dengan kawasan bahagian barat daya, Sima Xiangru menghasilkan sebuah karangan yang bertajuk "Nan Shu Fu Lao" untuk menghuraikan betapa pentingnya kerajaan Dinasti Han meneroka kawasan bahagian barat daya itu.
Tidak lama selepas itu, penghulu puak Qiong dan beberapa puak yang lain bersedia menyerah diri kepada kerajaan pusat Dinasti Han kerana mereka diberitahu bahawa banyak puak etnik minoriti telah diberi harta yang berjumlah besar apabila menyerah diri kepada kerajaan pusat. Raja Wu bertanya Sima Xiangru tentang pendapatnya.
Sima Xiangru menjawab: "Tempat kediaman puak Qiong dan beberapa puak yang lain itu berhampiran dengan Provinsi Sichuan. Jalan bagi menyambungkan tempat tempat tersebut agak mudah dibina. Kerajaan Dinasti Qin dahulu pernah menubuhkan pusat pentadbiran peringkat kaunti dan provinsi di situ yang kemudiannya ditutup pada zaman Dinasti Han ini. Sekarang, hamba menganggap ia amat bererti bagi memulihkan sistem pentadbiran di kawasan itu."
----DAZHONG