Cari:
Sima Xiangru: Penyajak yang Berbakat Besar (7)
2009-05-27 10:25:17 CRI Cetak

Setelah menghasilkan sajak "Tahziah kepada Raja II Dinasti Qin", Sima Xiangru segera menyerahkannya kepada Raja Wu untuk mengingati baginda supaya menimba pengalaman daripada pentadbiran Raja II Dinasti Qin. Kata beliau, "Raja II Dinasti Qin kurang rajin mentadbirkan negara hingga baginda digulingkan. Baginda juga salah mempercayai orang dan gagal memilih pegawai yang bijaksana hingga kuasa yang diturunkan dari ayahandanya hilang akhirnya. Sekarang di tapak makamnya hanya tinggal bangunan yang usang dan terbiar, dan tiada warisnya yang datang ke situ untuk membersihkan bangunan itu."

Pada tahun 122 sebelum Masehi, Sima Xiangru yang sudah lanjut usianya itu mendapat sakit kencing manis dan terpaksa meletakkan jawatannya. Beliau berpindah ke Kaunti Xingping, Provinsi Shaanxi selepas bersara.

Tidak lama selepas itu, kesihatan Sima Xiangru menjadi semakin buruk dan penyajak yang berbakat besar itu meninggal dunia pada tahun 118 sebelum Masehi, ketika berumur 61 tahun.

Semasa Sima Xiangru sedang sakit tenat, Raja Wu menghantar utusan ke tempat kediamannya untuk meminta karyanya yang baru. Apabila  tiba di rumah Sima Xiangru, utusan tersebut diberitahu tentang pemergian penyajak tersebut. Beliau berasa terharu apabila melihat rumah Sima Xiangru yang usang dan rosak, dan mendapati tiada apa-apa pun harta kecuali banyak buku sahaja di rumahnya.

Pada masa itu, isteri Sima Xiangru, Zhuo Wenjun mengambil senaskah buku dan menyerahkannya kepada utusan itu. Beliau berkata: "Naskah ini ditinggalkan oleh suami saya dan beliau meminta saya mencari jalan untuk menyerahkannya kepada baginda. Tolong berikannya kepada baginda."

Raja Wu berasa amat sedih dan terkilan apabila mendapat tahu tentang pemergian Sima Xiangru itu. Baginda segera membuka dan membaca naskah yang bertajuk "Persembahan di Gunung Tai" yang dihasilkan oleh Sima Xiangru yang diserahkan melalui utusannya itu.

Selain memuji sumbangan yang dicapai oleh Raja Wu dalam mentadbirkan negaranya, karangan tersebut menjelaskan bahawa raja-raja yang bijaksana yang hidup sebelum Raja Wu mempunyai reputasi yang gemilang kerana kesemua mereka telah membuat pemujaan di Gunung Tai. Dalam tulisannya, Sima Xiangru memujuk baginda supaya berangkat ke Gunung Tai untuk memuja langit dan bumi. Dengan demikian, mengikut riwayatnya, pentadbiran zaman Dinasti Han dapat dikekalkan dari generasi ke generasi kerana mendapat restu daripada dewa-dewi selepas raja membuat pemujaan.

Karangan yang bertajuk "Memuja di Gunung Tai" itu penuh dengan gambaran kesetiaan karyawannya kepada pemerintah Dinasti Han hingga baginda menjadi terharu selepas membacanya. Maka, baginda terus memutuskan untuk mengadakan upacara pemujaan di Gunung Tai.

Setelah membuat  persiapan yang mencukupi bagi setiap perincian perjalanan dan pemujaan itu, baginda berjaya mendaki Gunung Tai untuk melakukan pemujaan pada tahun 110 sebelum Masehi.

Memuja langit dan bumi diiktiraf sebagai upacara yang berfungsi untuk menyebarkan reputasi negara dan menyemarakkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat. Tetapi, amalan itu juga dilihat sebagai kepercayaan karut dan penuh  tahayul. Ini menggambarkan pemikiran Sima Xiangru yang kurang saintifik disebabkan hidup pada zaman purba.

Karya-karya yang dihasilkan oleh Sima Xiangru diiktiraf sebagai lambang prestasi yang paling gemilang pada zaman Dinasti Han. Bagaimanapun, beliau juga mendapat kritikan kerana menetapkan kaedah mengarang sajak pada ketika itu, hingga menimbulkan suatu gejala yang menyeluruh, iaitu karyawan cenderung meniru karya yang dihasilkan oleh orang lain. Dengan demikian, "Sajak Han" hanya dapat berkembang pada zaman Han, dan sukar untuk berkembang terus pada zaman berikutnya.

DAZHONG.............

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China