Cari:
Yang Xiong: Penyajak yang Bijaksana dan Berpemikiran Luas (1)
2009-06-24 11:12:14 CRI Cetak

Yang Xiong yang dilahirkan pada tahun 53 sebelum Masehi, adalah antara ramai tokoh ternama dalam bidang puisi di Provinsi Sichuan, bahagian barat daya China yang terkenal dengan keindahan pemandangan alam.

Pada asalnya, keluarga nenek moyang Yang Xiong adalah daripada keturunan raja Zhou. Nama keluarganya digantikan kepada "Yang" apabila dianugerahi tanah daripada maharaja di Kaunti Hongdong, Provinsi Shanxi yang disebut sebagai "Yang" ketika itu. Selepas itu, sebahagian keluarga Yang berhijrah ke kawasan bahagian barat secara beransur-ansur, dan akhirnya menetap di sekitar Bandar Chongqing selepas memasuki kawasan aliran hulu sungai Yangtze.

Nenek moyang generasi ke-5nya yang dikenali sebagai Yang Ji pernah menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan. Disebabkan mengalami masalah besar dengan saingannya, beliau terpaksa meletakkan jawatan dan membawa diri bersama semua anggota keluarganya ke sebelah selatan Gunung Min. Mereka menetap di dataran Chengdu dan menjadikan bertani sebagai mata pencarian keluarga.

Keluarga Yang tidak mempunyai ramai lelaki. Daripada lima generasi sebelum kelahirannya, setiap generasi keluarga itu hanya mempunyai seorang lelaki sahaja. Setelah lahir Yang Xiong, tiada lagi ahli keluarganya yang bernama "Yang". Ini menunjukkan puak "Yang" mulai pupus dan menjadi lemah.

Memandangkan kehidupan keluarga yang miskin, Yang Xiong sering khuatir memikirkan masalah kekurangan bahan makanan yang dihadapi malah sejak kecil lagi, sudah mengalami kehidupan yang getir. Beliau mengikut ibu bapanya ke lading bercucuk tanam, dari menanam hingga menuai hasil tanaman. Dengan demikian, Yang Xiong mahir dalam kerja-kerja pertanian hingga tangannya kasar dan kakinya berkematu.

Walaupun rajin bekerja, Yang Xiong tidak dapat menjamin keluarganya memperoleh bahan makanan dan pakaian yang mencukupi. Beliau sendiri sering mengambil makanan secara ala kadar, malah terpaksa makan paku pakis liar disebakan kehabisan bekalan makanan. Kesemua pakaiannya dibuat daripada kain kasar.

Tanpa menghiraukan kehidupan yang getir yang dilaluinya, Yang Xiong menumpukan perhatian besar terhadap menuntut ilmu. Beliau suka membaca buku yang bermacam ragam dan bijak menggabungkan pengetahuan yang mempunyai kaitan antara satu sama lain. Kemajuannya dalam pelajaran sangat cepat. Yang Xiong seorang pendiam kerana kekurangan pada dirinya yakni gagap apabila bercakap. Maka, beliau selalu menjadi pendengar yang setia apabila teman-temannya berbahas dan berdebat dalam satu-satu tajuk perbincangan.

Disebabkan kesungguhan yang luar biasa dalam pelajaran, Yang Xiong berjaya menjadi seorang penuntut yang cemerlang di kampungnya, malah diiktiraf sebagai penuntut yang paling cemerlang di kalangan mereka yang sebaya dengannya.

Bagaimanapun, Yang Xiong tidak berpuas hati terhadap kemajuan yang dicapainya. Beliau mahu mencapai lebih lagi. Beliau seorang yang bercita-cita tinggi dan menjaga tingkah lakunya dengan bersopan dan bergaya dengan peribadi yang baik.

Yang Xiong tidak memandang tinggi terhadap kehidupan yang mewah kerana sudah biasa dengan kehidupan yang miskin. Beliau kemudian terpilih menjadi pelajar bagi Yan Zhun, sarjana yang tersohor di wilayah Sichuan untuk melakukan kajian terhadap beberapa karya ajaran Taoisme seperti "Laozi". Ini memberi peluang kepada Yang Xiong mengembangkan kerjayanya ke satu tahap yang lebih cemerlang.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China