Cari:
Yang Xiong, Penyajak yang Bijaksana dan Berpemikiran Luas (2)
2009-07-01 10:41:15 CRI Cetak

Kawasan Sichuan yang letaknya berhampiran dengan negeri Chu, dengan sebatang sungai sebagai sempadannya, pernah dijadikan kawasan berafiliasi yang bergabung dengan negeri Chu. Sebab itulah, Yang Xiong yang lahir di Sichuan amat mengetahui adat resam dan sejarah negeri Chu. Beliau amat menghormati seorang penyajak tersohor yang lahir di negeri Chu, iaitu Qu Yuan.

Qu Yuan berpemikiran luas dan mahir dalam mengarang puisi yang indah kata-katanya. Beliau yang bercita-cita tinggi itu telah berjaya menghasilkan puisi yang berjudul "Chuci" berdasarkan pengetahuan yang mendalam dan imaginasinya yang kreatif. Yang Xiong menghormati Qu Yuan disebabkan beliau berakhlak mulia, di samping karangannya yang cemerlang.

Apabila membaca puisi "Chuci", Yang Xiong selalu terharu dengan kesedihan yang dinyatakan oleh penulisnya hingga beliau menangis tersak-esak. Beliau membenci pegawai yang khianat dan tidak menerima Qu Yuan, hingga menyebabkan Qu Yuan putus asa dan membunuh diri ketika baru separuh umur.

Kerana menghormati Qu Yuan, Yang Xiong mencontohi "Lisao", sebuah karya yang terkenal yang ditulis oleh Qu Yuan. Sebagai penyajak yang berbakat besar, beliau menghasilkan sebuah karangan yang diberi judul yang bertentangan bunyinya, iaitu "Anti-Lisao". Walaupun judulnya mengandungi kata "anti", karangan tersebut sebenarnya bertujuan menyampaikan rasa dukacitanya terhadap Qu Yuan dan harapannya agar beliau memilih jalan untuk terus memberikan sumbangan kepada tanah air dan bukannya membunuh diri dengan melompat ke dalam sungai.

Setelah menghasilkan karangan "Anti-Lisao", Yang Xiong mendaki ke puncak Gunung Min dan melemparkan karangan itu ke Sungai Yangtze yang bergelombang besar. Kertas yang tertulis karangan tersebut segera hanyut ke tapak tempat Qu Yuan melompat ke sungai itu. Dengan berbuat demikian, Yang Xiong merasakan beliau dapat menyatakan rasa dukacitanya kepada penyajak yang berbakti kepada tanah air itu.

Mengarang puisi agak popular pada zaman Dinasti Han. Pengarang puisi pula, biasanya adalah antara orang yang berpemikiran luas dan berpengetahuan tinggi. Jadi, mereka sering dilihat sebagai golongan yang berbakat besar.

Yang Xiong yakin pada bakatnya dan merancang menunjukkan bakatnya itu dalam mengarang puisi. Pada masa tersebut, iaitu zaman Dinasti Han, terdapat seorang penyajak yang tersohor, Sima Xiangru yang amat mahir mengarang puisi. Yang Xiong amat menghormati Sima Xiangru kerana karyanya yang begitu indah, yang diumpamakannya seperti hasil karya dewa-dewa, bukan manusia.

Bagaimanapun, Yang Xiong yang yakin pada kemampuan sendiri tidak menganggap mengarang puisi sebagai perkara yang sulit. Beliau berpendapat, sekiranya beliau dapat membaca puisi yang cukup banyak dan rajin belajar cara menggunakan kata-kata, beliau pun boleh menulis puisi yang indah.

Dengan demikian, Yang Xiong pun menyelidik puisi secara bersungguh-sungguh, menimba pengalaman dan pengetahuan daripada karya-karya yang dibacanya, mengetepikan dan membuang perkataan yang dilihat sebagai kelemahan atau kekurangan dan menambah pengetahuan yang dikuasainya sendiri serta berfikir secara kreatif.

Kawasan Sichuan pula terkenal dengan pemandangan alam sekitar yang bermacam ragam, pergunungannya yang tinggi dan lembah yang curam dan sungai yang mengalir deras. Selain itu, iklim di Sichuan sering berubah-ubah, menyebabkan tumbuh-tumbuhan di kawasan tersebut berbeza-beza hingga membentuk pemandangan yang unik. Yang Xiong yang lahir di Sichuan ini pandai menggunakan latarbelakang pemandangan yang indah di kampung halamannya ini semasa mengarang puisi. Beliau berjaya menghasilkan karya-karya yang cemerlang, seperti "Shudufu" dan "Mianzhusong", dan segera menjadi terkenal kerana mempunyai gaya mengarang yang beridentiti sendiri.

DAZHONG.............

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China