Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama menikmati lagu rakyat etnik Oroqen yang berjudul "Gunung-ganang Xinganling yang Tinggi". Etnik Oroqen tinggal di kawasan timur laut China dan berburu merupakan punca rezeki mereka. Lagu ini dengan iramanya yang rancak memuji-muji keindahan gunung-ganang di Xinganling, iaitu kampung halaman penduduk etnik Oroqen.
Kumpulan Paduan Suara Kanak-kanak Hulun Buir ini ditubuhkan pada tahun 2007. Anggotanya terdiri daripada kanak-kanak etnik minoriti, termasuk etnik Oroqen, Ewenki, Daur dan puak Burgat dan Tiger Bar daripada etnik Mongol. Daripada 37 orang anggotanya itu, kebanyakannya tinggal di padang ternak, hutan dan ladang ternakan di kawasan utara China. Mereka menyanyikan lagu etnik yang diwarisi turun-temurun dalam bahasa etnik sendiri.
Sekarang saya akan menyiarkan lagu rakyat etnik Ewenki yang berjudul "Ehulan, Dehulan". Lagu ini menceritakan episod wanita etnik Ewenki yang penuh gembira ketika baru berhijrah ke satu padang ternak. Mereka dikatakan sibuk membuat pelbagai kerja dengan rapi.
Pemimpin seni Kumpulan Paduan Suara Kanak-kanak Hulun Buir ini ialah penyanyi terkenal dari CRI, Burenbayaer. Menurut beliau, anggota kumpulan paduan suara ini tidak pernah menerima latihan menyanyi secara profesional. Lagu-lagu yang dulunya dinyanyikan oleh mereka adalah diajar oleh saudara mara atau generasi tua di kampung halaman mereka. Melalui pembelajaran dan latihan selama dua bulan, kanak-kanak ini sudah pandai menyanyikan pelbagai jenis lagu dan mengetahui teknik menyanyi secara paduan suara serta menguasai beberapa jenis bahasa etnik. Seterusnya, marilah kita bersama-sama menikmati lagu rakyat Mongol yang berjudul "But Baerhu". Lagu ini menceritakan kisah kanak-kanak yang menunjuk-nunjukkan butnya yang baru di depan orang ramai, sekali gus memuji kemahiran ibu mereka.
Seterusnya saya akan menyiarkan lagu rakyat Mongol yang berjudul "Pipit di Sungai Xingan". Lirik lagunya, antara lain, berbunyi "Pipit di sungai Xingan, walaupun sangat cerdik, kadang-kala akan jatuh. Orang muda, walaupun amat cerdik, kadang-kala akan melakukan kesilapan jika tidak berhati-hati."
Akhir sekali, saya akan menghidangkan lagu rakyat etnik Oroqen yang berjudul "Pemburu yang Baik".