Cari:
Yang Xiong: Penyajak yang Bijaksana dan Berpemikiran Luas (10)
2009-08-26 16:09:51 CRI Cetak

"Taixuan" yang dikarang oleh Yang Xiong mengikut contoh "Kitab Yi" merupakan karya yang paling membanggakan penulisnya. Kononnya, ketika mengarang buku tersebut, Yang Xiong bermimpi tentang seekor burung phoenix terbang keluar dari mulutnya dan menuju ke buku "Taixuan", lalu kesemua perkataan dalam buku itu berubah menjadi mutiara dan batu jed yang jernih.

Setelah "Taixuan" dihasilkan, terlalu sedikit pembaca mampu memahami isi kandungannya yang dipercayai merangkumi pengetahuan yang begitu mendalam. Maka, Yang Xiong menulis sebuah buku yang bertajuk "Jelaskan Kesukaran" untuk membantu para pembaca memahami isi kandungan "Taixuan". Bagaimanapun, masih tidak ramai yang mampu memahami buku itu. Liu Xin, seorang sasterawan yang tersohor seperti Yang Xiong ketika itu, juga mengaku betapa dalamnya pengetahuan yang terhasil dalam "Taixuan".

Yang Xiong, yang sudah lanjut usia ketika itu, menjalani kehidupan yang semakin sempit. Tetapi, beliau tidak berasa risau hidup dalam kemiskinan, malah menulis sebuah karangan yang bertajuk "Sajak Usirkan Kemiskinan" yang secara berselorah menjelaskan bahawa beliau tidak mahu menggugat pegangannya dan memutuskan untuk mengekalkan perjuangan bagi mencapai cita-cita asalnya, tak kira berada dalam suasana apa pun.

Yang Xiong yang bijaksana dan berpemikiran luas amat dihormati. Mereka yang ingin menuntut dengannya selalu membawa makanan dan minuman ke rumahnya setelah mengetahui keadaan hidup penyajak yang berada dalam serba kemiskinan. Hou Ba yang datang dari Julu, Kaunti Pingxiang Provinsi Hebei sekarang, antara mereka yang mahu berguru dengan penyajak tersebut. Beliau amat menghormati Yang Xiong yang baginya seorang beretika tinggi dan berpengetahuan luas, lalu memohon beliau diterima sebagai pelajar.

Pada masa berikutnya, Hou Ba berazam membantu Yang Xiong untuk mengekalkan perjuangannya dalam bidang kesusasteraan, di samping membantu gurunya dari segi kewangan.

Pada tahun 18 Masehi, Yang Xiong yang sudah lama menderita psakit meninggal dunia di bandar Chang'an pada usia 71 tahun. Memandangkan hidupnya yang berada dalam kedhaifan sehingga ke saat-saat akhirnya tidak meninggalkan sebarang harta, beberapa orang rakan karibnya termasuk Huantan mengumpulkan wang untuk urusan pengebumian mendiang.

Semasa berlangsungnya upacara pengebumian itu, ramai bangsawan dan pegawai kanan menghantar anak atau adik mereka mengiringi keranda penyajak itu ke tempat persemadiannya. Upacara itu kelihatan menjadi satu majlis besar-besaran. Hou Ba, pelajar setia Yang Xiong, menggali kubur untuk gurunya dengan tangan sendiri. Kepergian penyajak yang bijaksana itu amat diratapi seluruh rakyat China ketika itu. Beliau meninggalkan karya yang melimpah ruah dalam sejarah dan mendapat reputasi yang tinggi di China. Rakyat menggelarnya sebagai sasterawan yang cemerlang pada zaman Dinasti Han Timur.

Wang Chong, seorang sasterawan yang terkenal pada zaman itu, menyebut Yang Xiong setara kedudukannya dengan Konfusius dan Mengzi, ahli falsafah yang tersohor dalam sejarah China. Beliau memberikan gelaran kepada Yang Xiong sebagai "kazanah negara" dan "tokoh gemilang yang menyusuli jejak-jejak Konfusius.

Memandangkan hasil-hasil karya yang cemerlang daripada pemikiran Yang Xiong, rakyat China seluruhnya menganggap tempat bersemadinya penyajak itu sebagai "makam".

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China