Nama asal Genghis Khan ialah Timujin. Beliau dilahirkan pada tahun 1162 Masihi dalam sebuah keluarga bangsawan Etnik Mongol. Pada masa itu, terdapat banyak puak yang saling bermusuhan di padang rumput Mongolia. Kekerasan, rompakan dan peperangan sentiasa berlaku di sana. Semasa berusia 10 tahun, bapa Timujin dibunuh oleh puak lain dan puak bapanya telah dipecah-belahkan. Ibu Timujin membawa Timujin dan adik-beradiknya hidup dalam kesengsaraan. Beliau pernah ditawan oleh puak lain. Kemudian beliau berjaya melarikan diri dan turut menganggotai satu puak yang paling kuat di padang rumput Mongolia. Semasa dewasa, isterinya pernah dirampas oleh puak lain, akan tetapi beliau berjaya mengalahkan puak itu dan merampas kembali isterinya.
Dalam peperangan, Timujin semakin berbakat dan tegap. Semasa berusia 27 tahun, beliau telah menubuhkan puaknya sendiri dan dilantik menjadi ketua. Timujin telah menubuhkan tentera yang berdisiplin dan kuat. Dalam masa belasan tahun, tentera Timujin telah berjaya mengalahkan semua puak lain dan menjadi pemimpin yang paling berkuasa di padang rumput Mongolia. Pada tahun 1206, Timujin menubuhkan Negara Mongolia. Beliau naik takhta sebagai maharaja negara itu yang memakai gelaran Genghis Khan.
Setelah menyatukan pelbagai puak di padang rumput Mongolia, wilayah Negara Mongolia menjadi sangat luas. Di sebelah timur, negara itu bersempadan dengan Pergunungan Xingan di bahagian utara China manakala wilayahnya di sebelah barat meluas hingga ke Pergunungan Altai di Asia Tengah. Sempadan negaranya di sebelah selatan ialah Gunung Yin iaitu bahagian tengah Wilayah Autonomi Mongolia Dalam China pada masa sekarang, manakala wilayah di sebelah utaranya telah sampai ke Tasik Baikal di Siberia timur iaitu wilayah Rusia pada masa ini.
Genghis Khan telah menubuhkan sistem pemerintahan berpusat dan mencipta perkataan Mongol. Perkataan itu disempurnakan secara berterusan dan digunakan sehingga sekarang. Genghis Khan juga telah menguatkuasakan undang-undang negara, melaksanakan dasar yang keras untuk memerintah negara dan ketika memimpin pasukan tentera. Dengan tindakan sedemikian, negaranya berkembang secara pesat.
Pada tahun 1219, Genghis Khan yang gagah perkasa telah mengarahkan ekspedisi ke bahagian barat bagi meluaskan empayarnya dan merampas lebih banyak harta. Tentera Mongolia telah mengalahkan banyak negara di Asia dan Eropah.
Seiring dengan kemenangan pasukan tentera yang dipimpin oleh Genghis Khan, maka sempadan pelbagai negara dari pantai Pasifik di sebelah timur sampai ke Laut Caspian di sebelah barat telah dibatalkan. Ini telah mendorong pertukaran ekonomi dan kebudayaan antara timur dengan barat. Dalam ekspedisi ke barat, tentera Mongolia telah membina banyak jalan dan jambatan, ini telah menyediakan syarat yang baik bagi perkembangan perhubungan antara timur dengan barat. Genghis Khan menghantar pasukan tenteranya untuk mengawal laluan yang penting dan menguatkuasakan akta bagi melindungi saudagar yang menjalankan perniagaan. Disebabkan keselamatan yang terjamin, maka lalu lintasnya menjadi semakin sibuk. Banyak saudagar datang berniaga ke Mongolia, ubat-ubatan, barangan tekstil, sains dan teknologi barat telah diperkenalkan ke China, banyak penciptaan China juga diperkenalkan ke barat. Selain itu, sejumlah besar orang asing melawat ke China dan sejumlah besar rakyat etnik minoriti berhijrah ke kawasan tengah China. Mereka bersama-sama membuat sumbangan yang besar bagi perkembangan ekonomi dan kebudayaan China.
Pada tahun 1227, Genghis Khan meninggal dunia sewaktu dalam peperangan. Pada tahun 1279, cucunya Kublai Khan telah mengalahkan kerajaan Dinasti Song dan menubuhkan kerajaan Dinasti Yuan China. Ini menjadikan China buat pertama kalinya diperintah oleh etnik minoriti selain etnik Han dalam sejarah feudal China.