Cari:
Su Shi dan Sajaknya "Shui Diao Ge Tou" (2)
2009-10-07 19:11:36 CRI Cetak
Sui Shi menghasilkan sajak "Shui Diao Ge Tou" pada Hari Zhongqiu. Pemandangan pada malam itu indah sekali, bulan di langit kelihatan sudah penuh dan cahayanya memancar ke seluruh persekitaran. Pada saat itu, penulis sajak ini duduk merenung dirinya, dan mengenang bahawa sudah genap tujuh tahun dia berpisah dengan adik lelakinya, Su Zhe. Kedua-dua mereka tidak dapat duduk bersama-sama untuk menikmati pemandangan bulan yang begitu indah pada malam itu. Dengan perasaan sayu dan keluh kesah, Su Shi minum arak, sambil mengarang sajak 'Shui Diao Ge Tou", yang bukan sahaja menjadi terkenal pada zaman itu, malah tersebar di kalangan rakyat hingga ke zaman sekarang. Sajak ini membawa rasa rindunya kepada saudara mara yang sudah lama berpisah dan keluhan tentang kegagalannya untuk mencapai cita-citanya dalam bidang politik.

Pada zaman purba, maharaja-maharaja di China suka menganjurkan upacara untuk mempersembahkan korban kepada Dewi Bulan apabila tiba musim gugur. Upacara seumpama itu mempengaruhi rakyat hingga mereka pun ikut mengadakan upacara yang berlainan untuk meraikan hari itu yang membolehkan mereka menyaksikan bulan penuh itu. Antara acara perayaan yang biasa, termasuklah menikmati pemandangan bulan, makan kuih bulan, bermain Tanglung yang berwarna dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk melahirkan suasana yang harmoni yang dapat menggembirakan seisi keluarga.

Berbeza dengan pemikiran tradisional itu, Su Shi membawa satu gambaran yang istimewa kepada pembaca pada permulaan sajak "Shui Diao Ge Tou" dengan diri sendiri mengangkat cawan berisi arak sambil menghadap bulan yang terang di langit. Su Shi bertanya kepada dirinya bilakah agaknya bulan dilahirkan, dan bila cahayanya mula terpancar ke bumi ini? Apa zamannya bagi dewa-dewi yang hidup di kayangan? Pertanyaannya tentang bulan ini dicampurkan dengan unsur masa dan ruang dan lalu terciptalah satu dunia yang penuh dengan khayalan.

Pada saat itu, Su Shi mahu bersama angin sejuk untuk terbang pulang ke kayangan. Katanya, tempat tinggal asalnya di sana oleh sebab beliau memandang dirinya sebagai seorang dewa sesudah mabuk sedikit ekoran minum arak. Beliau amat dukacita akibat tinggal berjauhan terlalu lama daripada adik lelakinya dan mahu melepaskan kerinduannya. Tetapi, jika terbang ke kayangan, penulis ini tidak dapat lagi berjumpa dengan saudara maranya yang begitu mesra. Dilema antara terbang atau tidak, menjadi semakin sengit dalam dirinya dengan semakin cerahnya cahaya bulan ketika malam sekamin larut.

Lama-kelamaan, pemikirannya tentang bulan ini semakin luas lingkungannya. Su Shi teringat bahawa terdapat ramai juga orang yang sepertinya, yang tidak dapat berkumpul dengan anggota keluarga masing-masing pada saat itu, dan mungkin juga susah untuk tidur sepertinya. Lalu, Su Shi bertanya kepada Dewi Bulan yang tidak berdosa itu, kenapa ia begitu bulat khususnya pada hari itu, iaitu ketika anggota keluarganya masih terpisah. Persekitaran yang diselimuti cahaya bulan itu tetap tenang dan penulis sajak ini pula ikut tenang. Beliau, akhirnya memahami bahawa tiada suatu pun yang sempurna bagi umat manusia yang berubah hidupnya dari rasa sedih bertukar gembira, dan bertemu lalu berpisah atau berpisah lalu bertemu. Kesemua ini diibaratkan seperti bulan yang juga mengalami perubahan secara berterusan, kadang-kadang muram, kadang-kadang ber seri, dan kadang-kadang penuh, dan kadang-kadang seperti sabit.

Sajak "Shui Diao Ge Tou" ini berakhir dengan ayat penamat yang terus tersebar di kalangan rakyat China secara turun-temurun, iaitu "Dan Yuan Ren Chang Jiu, Qian Li Gong Chan Juan" yang bermaksud "Semoga kita semua sejahtera dan bahagia, bersama-sama menikmati keindahan bulan ini di tempat yang berasingan, yang jauh di mata, tetapi dekat di hati."

Sekarang, sajak "Shui Diao Ge Tou" ini disadur menjadi seni kata lagu pop yang meniti di bibir rakyat kerana popularitinya yang luar biasa.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China