Cari:
Li Bai dan Puisinya "Qiang Jin Jiu" (1)
2009-10-14 15:18:41 CRI Cetak

Muncul ramai pengarang puisi yang cemerlang dan karya-karya yang menakjubkan pada zaman Dinasti Tang, iaitukira-kira 1,400 tahun lalu. Zaman dinasti itu dilihat sebagai suatu tempoh kemuncak perkembangan puisi klasik dalam sejarah China. Sejumlah besar karya yang terkenal pada masa itu masih terus tersebar di kalangan rakyat China pada masa sekarang, dan diiktiraf kerana memberikan sumbangan yang besar kepada khazanah kesusasteraan dunia.

Li Bai yang digelar "Dewa Puisi" adalah antara yang tersohor di arena puisi pada zaman Dinasti Tang.

Beliau yang hidup dari tahun 701 hingga tahun 762 Masehi itu, sejak kecil lagi sudah menunjukkan bakat yang luar biasa dalam bidang kesusasteraan. Beliau rajin membaca buku dalam pelbagai bidang dan pelbagai gaya, di samping menimba pengetahuan dan pengalaman daripada kegiatan melancong. Kerana tidak tertakluk kepada sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa, Li Bai memilih gaya hidup yang bebas, bergaul dengan rakan-rakan biasa sahaja, dan tidak bergaul dengan pegawai atasan. Kebanyakan masa dalam hayatnya digunakannya untuk melancong ke merata-rata tempat di China.

Sebenarnya, maharaja ketika itu mengambil berat terhadap kehidupan Li Bai yang berbakat besar dalam menghasilkan puisi itu. Baginda menjemput beliau berpindah ke ibu kota Chang'an untuk menjadi Pegawai Pelayan Sastera Diraja. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Li Bai meletakkan jawatan tersebut kerana beliau yang menghargai dengan bakatnya itu, enggan bekerjasama dengan sebahagian pegawai kanan dan bangsawan yang menyelewengkan kuasa. Beliau lebih suka dan memilih menjelajah dalam keadaan bersantai.

Kebetulan ketika itu, China dilanda peperangan yang dimulakan oleh beberapa orang panglima tentera yang bertujuan untuk merampas kuasa. Memandangkan rakyat jelata sudah menderita sekian lama akibat hidup yang susah, Li Bai turut melibatkan diri dalam kegiatan merampas kuasa itu.

Usaha mereka ditumpaskan oleh pihak kerajaan, dan Li Bai ditangkap, lalu dihukum hidup dalam buangan di tempat yang terpencil. Walaupun mendapat amnesti ketika dalam perjalanan menuju ke destinasi buangan politik itu, Li Bai tetap hidup susah. Akhirnya beliau meninggal dunia akibat penyakit dalam usia yang agakh lanjut.

Puisi-puisi yang dihasilkan oleh Li Bai merangkumi lingkungan yang bermacam ragam dan latar belakang yang rencam. Keistimewaan karyanya adalah kerana pengalaman yang ditimbanya daripada seni kalangan rakyat dan lagu-lagu yang tersebar pada zaman purba. Li Bai yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan ini menaikkan imejnya sebagai seorang penyajak romantik yang cemerlang dengan menghasilkan karya-karya yang mengagumkan.

Ternyata pengalaman Li Bai dalam menjelajah menyumbang besar kepada usahanya untuk mencipta puisi. Beliau tidak mementingkan namanya di arena politik, juga tidak mengira sama ada beliau boleh dinaikkan pangkat atau tidak, malah beliau terus menumpukan perhatian kepada perkembangan politik semasa ketika itu. Semangatnya yang tinggi dapat dicerminkan dalam karyanya yang menyuarakan emosi yang membuak-buak. Penyajak ini jarang menunjukkan gambaran yang terperinci tentang sesuatu pemandangan, benda atau peristiwa, tetapi hanya mencurahkan emosi sebebas-bebasnya untuk menyatakan cita-cita yang tertentu.

Kata-kata yang dipilih oleh Li Bai penuh dengan khayalan yang indah dan pemandangan yang sering berubah-ubah. Baik ketika menyuarakan cita-citanya yang tidak dapat dicapai, mahupun ketika mengemukakan bantahan atau ketidakpuasannya terhadap pihak berkuasa yang dilihatnya kurang bijak ketika itu, Li Bai cenderung menggunakan ungkapan yang ringkas dan mudah difahami, serta bahasa lisan tanpa bahasa yang berbunga-bunga. Ini adalah pancaran wataknya yang suka hidup sebagai orang biasa yang bebas.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China