Du Mu adalah antara penyajak yang muncul pada zaman Dinasti Tang yang terkenal dengan perkembangan puisi klasik. Beliau dilahirkan pada tahun 829 dan meninggal dunia pada tahun 907 Masehi, satu tempoh pada akhir zaman Dinasti Tang.
Du Mu amat membanggakan dirinya dengan latar belakang keluarga yang ramai menyandang jawatan kerajaan dari generasi ke generasi, seperti datuknya, seorang sasterawan yang tersohor yang pernah menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan ketika itu. Du Mu sejak kecil lagi sudah menunjukkan bakat yang besar dalam bidang sastera dan berjaya menghasilkan beberapa buah karangan yang hebat.
Salah satu daripada beberapa karangannya kebetulan terbaca oleh seorang Pegawai Daxueshi yang berasa amat kagum dengan bakat yang dimilikinya. Beliau menyanjung Du Mu yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan itu dan memberikan pujian yang tinggi kepada penyajak yang masih muda itu.
Untuk membantu Du Mu menceburkan diri ke dalam arena politik, Pegawai Daxueshi tersebut menghubungi seorang pegawai lain yang bertanggungjawab terhadap urusan peperiksaan kebangsaan untuk memilih pegawai baru. Beliau menunjukkan sebuah karangan karya Du Mu yang dianggapnya cemerlang kepada pegawai pemilih tersebut dan mengarahkannya supaya terus meletakkan Du Mu pada kedudukan yang pertama dalam peperiksaan kebangsaan itu.
Tetapi, sebelum itu, calon bagi kedudukan pertama sudah pun ditentukan. Jadi, pegawai pemilih itu terpaksa meletakkan Du Mu pada kedudukan ke-5 tanpa mengambil sebarang peperiksaan.
Du Mu memang bernasib baik, bukan sahaja dari segi latar belakang keluarga yang gemilang, tetapi juga dari segi perjuangannya dalam arena politik, kerana beliau telah dilantik terus sebagai seorang pegawai dari seorang pelajar yang masih muda semata-mata kerana mendapat sokongan daripada seorang pegawai kanan.
Mungkin nama Du Mu tidak begitu terkenal di kalangan rakyat China, tetapi sepotong puisinya yang berkait dengan Hari Cembeng (Qing Ming) itu meniti di bibir rakyat dalam lingkungan sebaran yang begitu luas.
"Puisi Cembeng" bermaksud puisi-puisi yang berkaitan dengan Hari Cembeng, suatu hari raya tradisional yang jatuh pada musim bunga mengikut kalender China. Hari Cembeng yang bersejarah 2,500 tahun ini ditetapkan untuk rakyat berdoa kepada nenek moyang mereka yang sudah meninggal dunia, sekali gus menziarahi kubur mereka, lalu menuangkan arak di hadapan kubur dan menyapunya bersih-bersih.
Selain itu, Hari Cembeng juga sesuai digunakan untuk bersiar-siar dengan teman-teman kerana hari itu jatuh pada tempoh yang paling baik cuacanya sepanjang musim bunga. Pemandangan ketika itu agak indah dengan pokok dan rumput yang baru mula menghijau dan bunga-bunga baru mula berkembang. Rakyat China biasanya memilih aktiviti yang santai-santai di luar bangunan seperti bermain layang-layang atau hanya bersiar-siar sahaja dengan "berkelah".
Terdapat satu lagi tradisi yang masih dipatuhi pada Hari Cembeng, iaitu tidak boleh menyalakan api untuk memasak di rumah. Makanan untuk hari itu biasanya sudah disiapkan pada hari sebelumnya. Maka, memilih mengunjungi restoran untuk makan bersama-sama dengan rakan-rakan merupakan pilihan kebanyakan orang baik pada masa dahulu, mahupun pada zaman ini.
----DAZHONG