Zhuangzi yang hidup pada akhir zaman Negeri-negeri Berperang, kira-kira 2,200 hingga 2,300 tahun yang lalu, sebenarnya bernama Zhuang Zhou, atau Zhuang Zixiu.
Menurut "Shiji" yang bermaksud Catatan Sejarah, sebuah buku rujukan yang dihasilkan oleh Sima Qian yang berwibawa dalam bidang sejarah zaman purba China, Zhuangzi dikatakan berasal dari tempat yang bernama Meng. Tetapi, di mana lokasinya Meng itu?
Ada beberapa pendapat tentang letaknya tempat yang bernama Meng itu. Ada yang merujuk pada Shangqiu, Provinsi Henan di bahagian tengah China, ada yang merujuk pada tapak yang jauhnya kira-kira 20 kilometer ke barat bandar Mengcheng, atau bandar Hefei, Provinsi Anhui, kerana lokasi tersebut terbukti ada dalam dua buah buku, iaitu "Jiang Nan Tong Zhi" dan "Jia Jing Shou Zhou Zhi". Dalam buku tersebut dibuktikan ada beberapa tapak peninggalan sejarah yang berkait dengan Zhuangzi, iaitu Kuil Zhuangzi, Dataran Zhuangzi, Balai Xiaoyao, Wisma Mengdie, Kolam Lihat Ikan dan Pavilion Wuxiao. Ada pula yang berpendapat, walaupun Zhuangzi berasal dari Shangqiu, Henan, beliau telah berhijarah ke tempat sekitar Jingzhou, Hubei dan menetap di situ, malah ada yang juga merujuk pada provinsi Shandong.
Jika dilihat dari segi falsafah yang dianjurkannya, yang banyak mencerminkan budaya tradisi Negeri Chu yang terletak di kawasan aliran tengah sungai Yangtze, kita dapat menyimpulkan bahawa Zhuangzi, pendebat yang petah dan ahli falsafah yang tersohor ini berasal dari kawasan aliran sungai Yangtze.
Nenek moyang Zhuangzi mungkin bangsawan Negeri Song, atau pun keturunan Raja Song Zhuanggong. Tetapi ketika kecil, Zhuangzi hidup susah disebabkan ibu bapanya mempunyai tanah dan harta yang amat sedikit. Tambahan pula, bapanya meninggal dunia ketika Zhuangzi masih kecil lagi. Ibunya bersusah payah membesarkan Zhuangzi dan abangnya, Zhuang Yan, sendirian.
Kononnya, ketika berumur 15 tahun, Zhuangzi dapat peluang belajar di Sekolah Tuan Zhang, yang juga telah memberikan pendidikan kepada Perdana Menteri ketika beliau masih kecil lagi. Zhuangzi bukan sahaja berjaya menjadi pelajar yang cemerlang selama lapan tahun belajar di sekolah tersebut, malah berjaya membentuk tanggapan dan pandangan sendiri, yang berbeza dengan falsafah yang dianjurkan oleh presiden sekolahnya, Tuan Zhang dan arus utama pemikiran falasafah dalam masyarakat ketika itu yang diterajui oleh pemikiran Konfusius.
Ketika belajar di Sekolah Tuan Zhang, Zhuangzi berpeluang mengenali seorang pertapa yang berpengetahuan luas, iaitu Encik Yufu, dan bertemu dengan beliau pada masa lapang. Beliau telah diberi buku yang berjudul "Laozi" oleh Yufu. Beliau amat berminat pada buku itu dan menyerap kebanyakan pemikiran falsafah yang disarankan di dalamnya.
Selepas itu, Zhuangzi menumpukan perhatian untuk menghasilkan karangannya yang bertajuk "Daozhi Kutuk Konfusius". Karangan itu, atas nama Daozhi, iaitu seorang sarjana yang pernah dikritik dan dipandang rendah oleh Konfusius, menentang semua pemikiran falsafah yang dianjurkan oleh Konfisus tentang apa yang disebutnya sopan santun dan adab.
Setelah membaca karangan yang dihasilkan oleh Zhuangzi, Tuan Zhang berasa bimbang kerana pelajar itu tidak mematuhi pandangan gurunya. Tetapi, beliau juga berasa kagum dengan pengetahuan yang mendalam dan pemikiran yang luas yang ditunjukkan oleh pelajar itu.
Tidak lama selepas itu, Encik Dai Dang, seorang lulusan Sekolah Tuan Zhang yang sudah dilantik sebagai Taizai (pegawai kanan) yang berkhidmat sebagai pembantu raja ketika itu, melawat sekolah itu untuk memilih calon pegawai daripada pelajar yang berbakat besar. Ketika itu, seorang demi seorang pelajar dalam kelas Zhuangzi menyuarakan pandangan masing-masing tentang sopan santun dan adab yang dipelajari mereka daripada guru di sekolah itu.
----DAZHONG