Cari:
Zhuangzi, Pendebat yang Petah pada Zaman Negeri-negeri Berperang (4)
2009-12-23 10:12:48 CRI Cetak

Setelah tiba di Negeri Lu, Zhuangzi diatur mengadap raja negeri itu. Baginda memberitahu Zhuangzi dengan sombongnya bahawa rakyat di negeri itu adalah keturunan rakyat yang hidup pada zaman Dinasti Zhou yang terkenal dengan etiket sosialnya yang tinggi. Menurut baginda, di mana-mana pun di negeri itu boleh ditemui sarjana-sarjana yang berpakaian Konfusius, dengan tali pinggang yang lebar, dan topi yang kelihatan seperti balung angsa. Begitulah hebatnya Negeri Lu yang mempunyai begitu ramai penduduk yang berpengetahuan luas dan beretika tinggi.

Bagaimanapun, Zhuangzi tidak menerima hal yang seumpama itu sebagai hakikat yang benar, malah beliau yakin ini hanya sejenis "penipuan". Beliau bergurau dengan baginda dan bertaruh dengan menyatakan jika baginda mengeluarkan sebuah perintah, iaitu orang yang berpakaian Konfusius tanpa menguasai ajarannya dengan betul akan dibunuh. Jumlah mereka yang disebut oleh baginda sebagai "sarjana" itu pasti akan berkurangan.

Sejurus kemudian, Raja Lu pun mengumumkan pelaksanaan perintah tersebut. Memang betul! Tidak lama selepas itu, jumlah penduduk yang berpakaian Konfusius itu segera berkurangan. Ini membuktikan bahawa peningkatan etiket sosial tidak boleh wujud melalui pakaian yang dipakai oleh rakyat sahaja. Penyebaran sesuatu ajaran perlu dilaksanakan melalui pendidikan dan pembelajaran yang betul-betul melainkan tanpa perlu memakai pakaian yang tertentu. Gejala ini boleh dilihat sebagai sejenis kemunafikan sahaja.

Setelah menamatkan kunjungannya di Negeri Lu, Zhuangzi meneruskan penjelajahannya ke Negeri Zhao. Raja negeri itu amat menggemari silat bela diri yang menggunakan pedang. Baginda sering mengatur askar-askarnya menyertai pertandingan Kung Fu dengan menggunakan pedang sehingga ramai antaranya yang terbunuh.

Ketika mengadap Raja Zhao, Zhuangzi menerangkan bahawa terdapat tiga jenis "pedang" di dunia ini yang mempunyai kehebatan yang berbeza-beza tahapnya.

Pertama, "Pedang" yang sepatut dikuasai oleh raja-raja untuk memerintah bumi. Penggunaannya ditentukan menurut undang-undang dan piawaian etika mengikut empat musim yang berlainan. Tahap kemahiran untuk menguasai "pedang" ini bergantung kepada pengetahuan yang berkait rapat dengan lima unsur alam iaitu emas, kayu, air, api serta tanah yang dipercayai saling bertentangan, dan dua komponen dunia, iaitu dunia positif dan dunia negatif.

Kedua, "pedang" yang sepatut dikuasai oleh putera-putera untuk memerintah sesuatu daerah. Penggunaannya ditentukan oleh pegawai-pegawai yang dilantiknya. "Pedang" itu terdiri daripada "hulu" yang dirujuk kepada pegawai yang bijak, "mata pedang" yang dirujuk kepada pegawai yang bersih, "belakang" yang dirujuk kepada pegawai yang beretika tinggi serta murah hati, dan "batang" yang dirujuk kepada pegawai yang berbakti kepada tanah air.

Dan ketiga, "pedang" yang digunakan oleh orang biasa sahaja seperti askar-askar yang berdiri di ruang tengah istana, mereka yang sedang bergelut dan mereka yang sedang berjuang dengan menggunakan pedang. Lihatlah, betapa kasar dan garangnya mereka yang berhempas-pulas menunjukkan apa yang disebut "silat bela diri" untuk membunuh lawannya.

Setelah mendengar penerangan dari Zhuangzi, Raja Zhao berasa kesal dan menganggap apa yang dijelaskan oleh Zhuangzi itu betul. Kegemarannya terhadap "silat bela diri" terlalu rendah tahapnya jika dilihat dari segi pemerintahan negara. Tidak lama selepas itu, Raja Zhao menghentikan kegiatannya dalam mengerah askar-askar untuk mengikuti pertandingan "silat bela diri" yang menyebabkan banyak kematian itu.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China