Dalam cerita "Pengzu Chang Shou", Zhuangzi menjelaskan suatu keadaan yang sering wujud antara manusia, iaitu orang yang kurang bijak sukar memahami mereka yang amat bijak, seperti orang yang pendek umur tidak mendapat tahu tentang orang yang panjang umur. Pengzu yang dilahirkan pada zaman Dinasti Xia, dan meninggal dunia pada zaman Dinasti Yin, dikatakan dapat menikmati hidup selama 700 tahun. Beliau menjadi sasaran iri hati ramai orang disebabkan umurnya yang panjang itu.
Bagaimanapun, ramai orang tidak tahu ada makhluk yang lebih panjang umurnya daripada Pengzu, contohnya seekor kura-kura yang hidup di sebelah selatan Negeri Chu. Haiwan itu mempunyai umur yang begitu panjang, dengan mengira 500 tahun sebagai satu musim bunga, dan 500 tahun lagi sebagai satu musim gugur. Ini bermakna, tempoh 2,000 tahun yang dikira oleh manusia sama dengan setahun sahaja bagi kura-kura tersebut.
Malah terdapat yang lebih hebat lagi, iaitu sebatang pokok yang ditanam pada zaman purba. Pokok itu hidup dengan mengira 8,000 tahun sebagai satu musim bunga, dan 8,000 tahun lagi sebagai satu musim gugur. Ini bermakna, tempoh 32,000 tahun yang dikira oleh manusia sama dengan setahun sahaja bagi pokok tua itu.
Menurut Zhuangzi, itu baru betul-betul panjang umur.
Dalam beberapa episod yang diletakkan pada bahagian permulaan kitab "Zhuangzi", penulis kitab itu mengibaratkan dirinya sendiri sebagai "bangsawan yang mempunyai selera tinggi".
Dalam episod yang berjudul "Qiu Shui" dalam bab berikutnya, tercatat perjalanan Zhuangzi di Bandar Daliang, ibu kota Negeri Wei. Beliau dikatakan berbual-bual dengan Hui Shi, teman rapatnya, dengan berkata: "Tahukah anda, terdapat sejenis burung yang dikenali sebagai Wan Niao yang agak mirip Burung Phoenix dan terbang dari Laut Selatan ke Laut Utara. Sepanjang penerbangan itu, Wan Niao hanya singgah di pokok Buttonwood yang cantik dan berharga apabila ia berasa penat sahaja, hanya makan buah-buahan yang sudah masak apabila ia berasa lapar sahaja dan hanya minum air yang manis yang diambil dari mata air apabila berasa haus. Namum, terdapat seekor burung hantu yang sedang makan seekor tikus yang sudah mati, berteriak kepada Wan Niao, 'Awas! Awak berani merompak makananku ini?'"
Sebenarnya, Zhuangzi mengibaratkan dirinya sendiri sebagai Wan Niao, dan mengibaratkan apa-apa saja yang dikejar oleh manusia lain seperti nama, kedudukan dalam masyarakat, harta dan pangkat, sebagai tikus yang sudah mati, manakala mereka yang takut akan dirompak 'tikus mati'nya itu diibaratkannya sebagai burung hantu.
Tentang keistimewaan kedua watak Zhuangzi ini, iaitu tidak mementingkan kekayaan dan berpegang kepada prinsip dan harga diri ketika mengalami kemiskinan hidup, para pembaca dapat menyelusurinya melalui episod "Wai Wu" dalam kitab "Zhuangzi" ini.
Episod itu menceritakan tentang Jianhehou, seorang pegawai yang bertanggungjawab terhadap urusan tali air yang sering melawat rumah Zhuangzi ketika beliau bertugas sebagai pegawai di kebun lakuer. Zhuangzi yang pernah hidup susah pada suatu ketika itu, pernah meminta tolong kepada Jianhehou untuk meminjam wang. Ketika itu, Jianghehou menjawab: "Boleh, saya akan meminjamkan awak emas 300 unit apabila saya diberi gaji oleh kerajaan nanti." Maksudnya, Jianhehou menolak permintaan Zhuangzi dengan alasan itu.
----DAZHONG