Zhuangzi segera menjawab dengan mengisahkan sebuah cerita kepada si Jianhehou: "Ketika dalam perjalanan menuju ke rumah anda, saya terdengar teriakan 'Tolong! Tolong!'. Jadi, saya berhenti, lalu mendapati teriakan itu datangnya daripada seekor ikan lampam yang terkandas dalam sebuah parit. Saya pun bertanya kepada sang lampam itu, 'Kenapa awak boleh berenang ke sini dan terperangkap dalam parit ini?' Sang ikan lampam itu pun menjawab, 'Saya adalah pegawai kepada Raja Naga Laut Timur. Bolehkah anda menyelamatkan saya dengan menuangkan air beberapa liter ke sini? Saya menjawab, 'Tunggu sekejap, saya akan pergi ke negeri Wu dan Yue, tempat yang terdapat banyak sungai dan parit. Saya akan mengambil air dari sungai Xi untuk menyelamatkan awak. Sang ikan lampam itu berkata dengan marah, 'Saya akan mati segera tanpa air. Jawapan anda itu memberikan makna anda boleh berjumpa dengan saya lagi di pasar ikan kering.'"
Cerita tersebut adalah sindiran yang tajam kepada Jianhehou, orang kaya yang tidak mahu membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Dengan demikian, lahirlah peribahasa yang terkenal, "He Zhe Zhi Fu", yang sering digunakan untuk menggambarkan keadaan mereka yang berada dalam kesempitan dan menunggu bantuan dari luar.
Satu cerita lagi tentang Zhuangzi yang menolak tawaran raja untuk melantikkannya memegang suatu jawatan tercatat secara berasingan dalam episod "Qiu Shui" dalam kitab "Zhuangzi", dan dalam "Shi Ji", buku sejarah kuno China yang berwibawa. Kononnya, Raja Wei dari Negeri Chu telah mendapat itahu tentang Zhuangzi yang terkenal dengan bakatnya yang besar dalam bidang kesusasteraan itu. Baginda pun menugaskan dua orang "Dafu", iaitu pegawai kanan yang berkhidmat sebagai penasihat dalam kerajaan pusat untuk mengunjungi rumah Zhuangzi dengan membawa emas sebanyak seribu unit sebagai hadiah. Tujuannya adalah untuk menawarkan jawatan sebagai menteri dalam kerajaan ketika itu kepada Zhuangzi.
Kedua-dua orang "Dafu" itu berjumpa dengan Zhuangzi yang sedang memancing ikan di tebing sungai, dan terus memberitahunya tentang misi mereka. Bagaimanapun, Zhuangzi terus memberi jawapan tanpa menoleh kepada kedua-dua pegawai itu, "Katanya, terdapat satu mayat kura-kura diletakkan dalam kuil diraja di Negeri Chu untuk disembahyangkan. Bolehkah anda bertanya kepada sang kura-kura itu, sama ada dia mahu dihargai dan tulangnya disembahyangkan sesudah ia mati, ataupun mahu berenang sebebas-bebasnya dalam air yang bercampur lumpur ketika ia masih hidup?"
Kedua-dua pegawai "Dafu" yang juga bertindak sebagai utusan itu menjawab dengan yakin dan jelas: "Tentulah dia mahu berenang sebebas-bebasnya dalam air ketika masih hidup." Seterusnya, Zhuangzi berkata, "Itulah juga keinginan saya. Anda berdua pulang sajalah ke istana dan beritahu baginda, saya cuma mahu hidup sebebas-bebasnya di kalangan rakyat biasa."
Dengan demikian, lahirlah pula peribahasa "Ye Wei Yu Tu" yang sering digunakan untuk menunjukkan keengganan untuk menceburkan diri ke dalam arena politik.
Pemikiran yang dianjurkan oleh Zhuangzi, baik yang positif, mahupun yang negatif, bukan sahaja tidak mendapat perhatian orang ramai sepanjang lebih 400 tahun, iaitu sejak awal zaman Dinasti Qin hingga ke zaman Dinasti Han Barat dan Han Timur, malah tidak dicatat atau disemak sebagai buku. Keadaan itu mula berubah setelah tersebarnya "Rujukan Zhuangzi" yang dihasilkan satu demi satu oleh Xiang Xiu dan Guo Xiang pada zaman Dinasti Wei dan Jin. Tidak lama selepas itu, Zhuangzi mula dikenali oleh rakyat China.
Setelah masuk ke zaman Dinasti Tang, raja-raja yang ketika itu mendoakan Laozi, ahli falsafah yang menubuhkan fahaman Tao, sebagai nenek moyang mereka, telah membantu menyebarkan pemikiran Zhuangzi pada masa yang sama. Contohnya, Raja Xuan dari Dinasti Tang telah menitahkan rakyatnya supaya membaca kitab "Tao Te Ching" dan kitab "Zhuangzi". Pada tahun 742 Masehi, Zhuangzi telah diberi gelaran "Nan Hua Zhen Ren" yang bermakna dewa Nanhua yang suci oleh raja ketika itu, manakala kitab "Zhuangzi" itu pula digelar "Kitab Nanhua". Dengan demikian, barulah Zhuangzi diiktiraf secara rasmi sebagai salah seorang pengasas fahaman Tao, dan mendapat perhatian yang semakin besar dalam bidang falsafah China.
----DAZHONG