Cari:
Qu Yuan, Sasterawan dan Patriot yang Segemilang Matahari (2)
2010-01-27 15:37:16 CRI Cetak
Kaunti Zhigui di Provinsi Hubei, dikenali sebagai Danyang pada zaman purba dan merupakan salah satu kawasan yang paling awal ditakluk dan diletakkan di bawah naungan kerajaan Chu. Kaunti Zhigui berhampiran dengan Tiga Gaung Sungai Yangtze, dan terkenal dengan pemandangan alamnya yang indah dan penduduknya yang ramah-tamah. Di sana tersebar banyak legenda serta mitos yang ada kaitan dengan nenek moyang puak Chu, dan banyak lagu rakyat serta peribahasa yang mencerminkan adat resam puak tersebut.

Qu Yuan sejak kecil lagi menunjukkan minat yang besar terhadap pelbagai mitos yang tersebar di kampung halamanya, seperti perang antara Raja Huang dengan Penghulu Puak Jiuli, iaitu Chiyou, cerita tentang beberapa orang puteri Raja Yan dan dua orang gundik Raja Shun; Dewi Nuwa yang kononnya mencipta khalayak, Kufu menghambat Sang Matahari, Houyi yang memanahkan Sang Matahari, Gun dan Yu yang melawan banjir dan sebagainya.

Selain itu, Qu Yuan juga menggemari lagu-lagu yang agak popular di kalangan rakyat ketika itu, seperti "Lagu Yufu", "Lagu Ruzi" dan "Lagu Yueren", dan sering menyanyikannya berulang kali.

Ketika berusia 10 tahun, Qu Yuan sudah membaca banyak buku dan mempunyai pengetahuan yang luas. Tambahan pula ia pandai bercakap, maka, ia dianggap sebagai pendebat yang petah.

Quan Yuan yang sudah menunjukkan bakat yang besar dalam bidang sastera ini bukan sahaja mendapat pujian di kalangan teman-teman sekolahnya, malah berjaya mendapat penghargaan yang tinggi daripada guru-gurunya.

Ketika masih kecil, Qu Yuan sering melibatkan diri dalam kerja-kerja harian untuk membantu ibu bapanya yang hidup susah. Dia bergaul dengan kanak-kanak dari keluarga miskin, dan selalu bermain dengan mereka dalam suasana gembira. Kadang-kadang, mereka juga membantu orang tua mereka yang bercucuk tanam dan menternak binatang . Dengan demikian, Qu Yuan bukan sahaja berpeluang menikmati kegembiraan yang dibawa oleh hasil tuaian pertanian, tetapi juga terpaksa mengharung kepahitan hidup ekoran dicengkam kemiskinan.

Pada zaman Negeri-negeri Berperang, kebudayaan dari bahagian selatan dan utara China mula digabungkan, lalu menghasilkan satu tempoh kemakmuran yang belum pernah berlaku pada zaman sebelumnya. Ini terjadi kerana kerajaan-kerajaan negeri yang berlainan ini sudah mula mempererat hubungan antara satu sama lain dalam bidang politik, tentera dan diplomatik. Contohnya, banyak buku dan kitab dari kawasan bahagian utara seperti "Shi", "Chunqiu", "Li" dan "Yue" sudah tersebar ke selatan.

Negeri Chu yang terletak di bahagian selatan mendapat manfaat yang besar daripada perkembangan dan penyebaran unsure budaya seumpama itu. Negeri Chu, bukan sahaja dapat menimba ilmu daripada budaya yang tersebar dari bahagian utara yang dianggap agak maju ketika itu, malah dapat mengembangkan ilmu budaya tersebut hingga mencapai kejayaan yang cemerlang dalam beberapa bidang, seperti peralatan lakuer, tekstil, kraf tangan, kesenian, muzik, tarian dan nyanyian. Lama kelamaan, kota Yingdu, iaitu bandar Jiangling di Provinsi Hubei sekarang ini, yang berfungsi sebagai ibu kota negeri Chu ketika itu, berkembang menjadi pusat pertumbuhan budaya yang agak makmur di kawasan bahagian selatan China.

Qu Yuan mengikut ibu bapanya berhijarah ke kota Yingdu, setelah ia dewasa. Di Yingdu, beliau segera meningkatkan pengetahuannya kerana banyak peluang yang diperolehnya untuk menimba ilmu yang pelbagai rupa. Ini kerana kota Yingdu mempunyai kemudahan lalu lintas yang maju, komunikasi maklumat yang lancar dan tokoh serta ilmuwan yang ramai. Pertukaran pendapat dan dialog pemikiran falsafah yang bermacam-macam juga dibenarkan berlangsung dalam suasana yang terbuka di sana.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China