Setelah keenam-enam negeri Chu, Qi, Yan, Han, Zhao, dan Wei bersetuju akan bersatu-padu melaksanakan dasar "Ikat Enam, Lawan Satu" untuk menentang negeri Qin, Raja Huai dari Negeri Chu dipilih sebagai Ketua Panglima Perikatan Enam Negeri Bersekutu. Pemilihan itu sekali gus membantu meningkatkan reputasi negeri Chu.
Memandangkan banyak kejayaan yang mengagumkan tercapai, baginda semakin menghormati dan mempercayai Qu Yuan, lalu menambah elaunnya dan mengikut apa jua nasihat yang diberikannya.
Pada sekitar tahun 318 sebelum Masehi, iaitu tahun ke-11 sejak Raja Huai memerintah Negeri Chu, baginda memutuskan untuk menaikkan pangkat Qu Yuan, lalu melantik beliau ke jawatan Zuotu, yang hanya setahap di bawah jawatan Perdana Menteri ketika itu. Baginda sudah biasa berunding dengan Qu Yuan apabila kerajaannya menghadapi sebarang ancaman atau keadaan cemas. Manakala Qu Yuan yang baru berusia 22 tahun ketika itu juga berazam untuk menyumbangkan seluruh tenaganya demi membantu baginda membangunkan negeri Chu ke arah kemakmuran. Malah beliau bertekad akan bersama-sama dengan baginda untuk merealisasikan cita-cita yang lebih tinggi, iaitu menyatukan seluruh negara China.
Qu Yuan bekerja bertungkus-lumus ketika mengkaji hubungan antara negeri-negeri dan memantau perkembangan situasi politik yang terbaru di setiap negeri, di samping mengambil iktibar daripada kerajaan-kerajaan yang silam dengan cara melakukan penyelidikan yang rapi melalui buku sejarah. Beliau juga giat menyusun rancangan untuk membanteras gejala rasuah yang sudah menular dan berakar dalam masyarakat bangsawan ketika itu.
Pada tanggapan Qu Yuan, setelah berlaku rusuhan besar-besaran dan penggabungan negeri-negeri pada zaman Chunqiu (zaman Musim Bunga dan Musim Gugur), di wilayah China sudah tidak nampak lagi gejala berpuluh-puluh kerajaan memerintah negeri masing-masing. Trend penyatuan sudah kelihatan semakin ketara mengikut hukum perkembangan sejarah, khususnya setelah masuk ke zaman Zhanguo (zaman Negeri-negeri Berperang) yang menyaksikan peperangan yang dahsyat yang berlaku berulang kali dengan matlamat menakluk dan menggabungkan negeri lawan.
Negeri Qin, Chu dan Qi adalah tiga negeri yang paling kuat antara tujuh negeri yang memerintah di China ketika itu. Ketiga-tiga negeri tersebut masing-masing mempunyai keupayaan yang cukup kuat untuk menyatukan China. Antara ketiga-tiganya, negeri Qin dilihat sebagai yang paling hebat jika ditinjau secara keseluruhan. Dengan demikian, jika mahu menyatukan seluruh China, ia perlu mengalahkan kedua-dua lawan utamanya, iaitu negeri Chu dan Qi, khususnya negeri Chu. Manakala negeri Chu hanya ada satu jalan sahaja untuk menyelamatkan diri, iaitu dengan menjalinkan perikatan dengan kelima-lima negeri yang lain untuk melawan negeri Qin. Sementara itu, kerajaan Chu juga perlu memajukan dan membangunkan negerinya dengan melaksanakan pentadbiran yang bersih dan mempergiat inovasi di dalam negerinya.
Hanya itulah strategi yang betul bagi negeri Chu untuk mencapai matlamatnya menyatukan seluruh negara.
Setelah Qu Yuan menghuraikan pendapat politiknya dan cadangan strategi tersebut kepada baginda, dan memujuk baginda supaya melancarkan kempen inovasi terhadap undang-undang lama, golongan bangsawan yang berkuasa dalam kerajaan ketika itu segera memberikan reaksi mereka. Mereka menentang pelbagai cadangan inovasi yang dikemukakan oleh Qu Yuan, kerana banyak hak dan kepentingan golongan mereka akan dibatalkan ekoran pelaksanaan cadangan inovasi seumpama itu.
Akibatnya, golongan bangsawan bukan sahaja merasa takut, malah benci akan Qu Yuan, dan menganggap beliau sebagai duri dalam daging.
----DAZHONG